KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa kerajaan Malaysia lemah kerana Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu mendapatkan surat sokongan (LOS) bagi mengumpul dana AS$3 bilion.
Saksi pendakwaan ke-26, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika prosiding kes rasuah RM2.3 bilion dana 1MDB dan pengubahan wang haram.
Saksi berusia 63 itu berkata, LOS itu diperlukan bagi projek usaha sama antara syarikat pelaburan strategik negara dengan dengan Aabar (Investments PJS Ltd).
Menurutnya, kertas cadangan itu disediakan oleh Kementerian Kewangan dan dibentangkan di Kabinet sebelum diluluskan Jemaah Menteri.
Wan Aizuddin: LOS yang Datuk bentangkan, adalah perlu bagi mendapatkan bon AS$3 bilion?
Siti Zauyah: Nampak sangat kerajaan kita lemah.
Wan Aizuddin: Kerajaan lemah waktu itu atau lemah sekarang?
Siti Zauyah: Pada waktu untuk mengumpulkan dana.
Wan Aizuddin: Tadi Datuk cakap ada sediakan kertas Kabinet, sekarang Datuk cakap kerajaan lemah, saya rasa, bila Datuk cakap ada faktor bersubahat, Datuk merujuk kepada ‘financing rating standard and poor’?
Siti Zauyah: Haa, tahupun, jadi anda mesti tahu.
Wan Aizuddin: Ya, saya tahu Datuk tapi saya tiada masa itu, bukan saya yang sediakan kertas ini.
Siti Zauyah: Tidak, hakikat kita terpaksa buat LOS, ia menunjukkan kita tiada keyakinan.
Selain itu,dalam kontak ini, saksi ini turut menyentuh isu Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) ketika itu, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Beliau berkata, Mohd Irwan Serigar mengarahkannya untuk memasukkan LOS dalam kertas cadangan.
Beliau juga berkata, tidak boleh menjawab soalan yang dikemukakan Wan Aizuddin sama ada beliau bersetuju atau tidak, bahawa LOS merupakan satu keperluan sebelum dibentang di Kabinet.
Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.