SHAH ALAM - Kerjasama antara Selangor dan Singapura dalam bidang pendidikan khususnya automasi mampu meningkatkan kemampuan negeri ini dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran terkini untuk pasaran negara dan ASEAN.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu digerakkan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) bersama FESTO Pte. Ltd dan Technical University of Munich (TUM) menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai baru-baru ini.
Menurut Amirudin, beliau yakin kerjasama berkenaan mampu mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional negeri berkelas dunia.
"MoU ini dijangka meningkatkan kemampuan negeri dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran terkini di Malaysia dan juga ASEAN.
"Di Singapura, perbincangan bernas bersama Dr Maliki Osman selaku Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Luar Singapura, kami berkesempatan bertukar pandangan dan berbicara tentang potensi kemajuan di Singapura dan Malaysia khususnya Selangor,” kata Amirudin menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.
Pada 22 Ogos lalu, Amirudin mengetuai delegasi Selangor melawat FESTO Pte. Ltd di Singapura bagi memeterai MoU bersama syarikat itu dan TUM dalam bidang pendidikan khususnya automasi.
Dalam lawatan berkenaan, delegasi Selangor turut diberi penerangan oleh Ketua FESTO Didactic Asia Pasifik, Volker Schmid berhubung kebolehan automasi yang dimiliki oleh syarikat berkenaan.
"Alhamdulillah, lawatan ke Singapura ini banyak membawa banyak kebaikan dan manfaat yang boleh dikongsi bersama rakyat Selangor. Semoga hubungan akrab bersama jiran terdekat kita terus kukuh,” katanya.
STDC merupakan institusi pendidikan teknikal bawah kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat.