PENGURUSAN tertinggi Selangor FC dinasihati supaya lebih bertegas dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang membocorkan maklumat kelab terutama berkenaan perjanjian pembelian para pemain.
Malah menurut pemain ke-12 Selangor FC, Ultras Selangor (UltraSel), insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini secara tidak langsung memberi imej buruk terhadap tahap profesionalisme kelab itu.
"Antara insiden dan isu yang berlaku di dalam kem Selangor FC, perbincangan serta rundingan kontrak baharu di antara pemain dan pengurusan telah bocor ke pihak lain. Insiden sebegini bukanlah pertama kali berlaku, tetapi sudah berkali-kali berlaku.
"Secara logik, perbincangan serta rundingan tersebut mestilah dilakukan secara tertutup di antara pemain dan pihak pengurusan tertinggi sahaja. Jadi siapa yang telah membocorkan info tersebut?
"Pihak pengurusan pasti tahu siapa yang membocorkan info-info tersebut kerana ia jelas dan nyata siapa yang berada dalam bilik perbincangan dan rundingan tersebut. Tetapi seperti mana yang kita tahu tiada tindakan yang diambil terhadap orang yang membocorkan info tersebut dan ini telah menghilangkan rasa hormat orang lain terhadap kepimpinan kelab.
"Pemain lain pasti akan anggap yang kepimpinan kelab ini 'boleh makan', jadi semua akan buat ikut suka hati sendiri sebab tiada tindakan yang akan dikenakan kepada mereka, maka hilanglah 'respect' itu dan terjadilah apa yang berlaku pada hari ini. Segalanya ditafsirkan dengan prestasi dan keputusan di atas padang. Ada tindakan? Masih tiada,” kata Ultrasel dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam kenyataan sama, UltraSel turut menegaskan perlu ada rasa hormat terhadap pasukan.
Penyokong dan peminat tegar Selangor itu juga mengharapkan pihak pengurusan kelab lebih adil dan sentiasa tegas dalam menjaga kehormatan dan maruah kelab.