Rejim Zionis akhirnya mengaku silap sendiri

Iklan
Shireen maut ketika membuat liputan tentang operasi dilancarkan Israel di utara Tebing Barat pada Mei lalu. - Foto Agensi

TEL AVIV - Rejim Zionis akhirnya mengakui salah seorang anggota tentera mereka telah menembak wartawan veteran Al Jazeera, Shireen Abu Akleh kononnya kerana menyangka mangsa lelaki Palestin yang bersenjata.

"Terdapat kemungkinan besar tembakan itu telah dilepaskan secara tidak sengaja oleh anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF)," menurut laporan siasatan akhir tentera terhadap punca kematian Shireen pada 11 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Pengakuan itu dibuat beberapa bulan selepas rejim Zionis berdolak-dalik memberikan pelbagai alasan dan turut menuding jari menyalahkan kumpulan bersenjata Palestin.

"Anggota tentera kami mungkin gagal untuk mengenal pasti Shireen sebagai petugas media ketika tembakan dilepaskan hingga meragut nyawanya," ujar seorang pegawai kanan IDF.

Iklan

Ketika kejadian itu, Shireen dilaporkan memakai rompi kalis peluru tertera tulisan 'media' secara jelas ketika beliau membuat liputan tentang operasi yang dilancarkan di kem pelarian Jenin di utara Tebing Barat.

Sebelum ini, keluarga mangsa menzahirkan kekecewaan dan menyelar Israel kerana enggan bertanggungjawab atas pembunuhan itu serta menggesa 'siasatan boleh dipercayai' oleh sekutu rapatnya, Amerika Syarikat (AS).

Iklan

Susulan pendedahan laporan itu, Washington menggesa akauntabiliti dan keadilan selepas Tel Aviv membuat pengakuan tersebut.

"Kami mengalu-alukan laporan Israel terhadap insiden tragis itu. Rejim Tel Aviv perlu melaksanakan dasar dan prosedur untuk memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa depan," ujar jurucakap Jabatan Negara, Ned Price dalam satu kenyataan. - AFP