ABIM perkenal program pertukaran budaya etnik Uyghur

Iklan
Chef Abdurahman sedang menyediakan makanan tradisi masyarakat Uyghur di Gibca Ventures Sdn Bhd pada Selasa.

PETALING JAYA - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memperkenalkan program pertukaran budaya dengan etnik Uyghur menerusi masakan dan makanan.

Setiausaha Agungnya, Mohd Fazril Mohd Salleh berkata, program berkenaan bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara dua komuniti berbudaya selain mempromosi budaya dunia di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain hubungan sebagai saudara Islam, bangsa Uyghur dan Melayu kaya dengan budaya dan tradisi masyarakatnya.

Mohd Fazril

"Buat masa ini ABIM cuba mengetengahkan budaya Uyghur melalui masakan dan makanan kerana mempunyai persamaan dengan hidangan masakan masyarakat Melayu seperti berempah dan pedas,” katanya pada program Pertukaran Budaya Melalui Sajian Melayu-Uyghur di Gibca Ventures Sdn Bhd di sini pada Selasa.

Iklan

Turut hadir Setiausaha Agung Kesatuan Antarabangsa Organisasi Turkistan Timur, Abdruresid Eminachi, Chef Abdurahman Zafe dan Chef Osman Eslem.

Selain itu katanya, ABIM turut berusaha mencari ruang kerjasama dalam kalangan pemain sektor makanan tempatan untuk bersama-sama memperkenalkan makanan etnik berkenaan sama ada di restoran, kafe atau menerusi pengeluaran produk.

Iklan

"Sebagai contoh Gibca Ventures Sdn Bhd mempunyai kepakaran dalam penyediaan hidangan tempatan, jadi kita bawakan chef khas dari Uyghur untuk bersama-sama memperkenalkan masakan tradisi etnik itu bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara serantau yang lain,” jelasnya.

Tambahnya lagi, ABIM dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara bakal menganjurkan Pameran Budaya Dunia bersempena Anugerah Telenovela Antarabangsa yang akan berlangsung pada Disember ini.

Sementara itu, Abdruresid Eminachi berkata, pihaknya berbesar hati dengan usaha ABIM memperkenalkan budaya masyarakat Uyghur di Malaysia.

"Alhamdulillah, kerjasama ini akan membuka pintu untuk masyarakat kami mengenali dengan lebih dekat budaya yang ada di Malaysia,” katanya.