SHAH ALAM - Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters mengalu-alukan kajian menyeluruh dilaksanakan terhadap pengasingan kuasa Peguam Negara demi merealisasikan sebuah ketelusan dalam bidang kehakiman.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurhayati Nordin berkata, kebebasan Peguam Negara adalah antara enam tuntutan #RasuahBusters yang dinyatakan sejak 11 September tahun lalu.
Kata beliau, kuasa kehakiman adalah penentu keadilan untuk dilaksanakan di negara ini.
Jelas beliau, bukan semata badan kehakiman sahaja yang perlu adil dan telus dalam membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman, tetapi seawal peringkat pendakwaan juga harus bebas daripada sebarang konflik kepentingan.
Untuk itu kata beliau, #RasuahBusters amat bersetuju sekiranya kajian pengasingan kuasa serta fungsi Peguam Negara perlu disemak semula.
"Perkara ini penting dalam memastikan demokrasi di Malaysia dapat dilaksanakan tanpa berat sebelah atau dipengaruhi sebarang anasir politik.
"Kita juga harus faham bahawa menafikan keadilan dengan melakukan pendakwaan terpilih atas dasar kepentingan tertentu adalah kezaliman besar terhadap rakyat," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.
Kajian terhadap pengasingan kuasa Peguam Negara telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, pengasingan kuasa eksekutif dan kehakiman adalah dasar kepada akauntabiliti dan integriti pelaksana undang-undang.
Menurut beliau, tanpa persempadanan yang jelas, tanggungjawab menjalankan pendakwaan oleh Peguam Negara akan terbuka luas.
Malah tambah beliau, kelompongan dalam perkara tersebut berkemungkinan besar berpotensi membuka kepada peluang-peluang penyalahgunaan kuasa di peringkat tertinggi terutama melibatkan Peguam Negara.