Shukri, Sharifah Ruqayyah tekad gegar POPIC 2022

Iklan
Shukri (kiri) dan Sharifah Ruqayyah (dua dari kiri) bersama Daniele, Hynard serta Mocke.

DUA wakil negara bakal menjadi tumpuan apabila kejohanan kanu antarabangsa - Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) membuka tirainya bermula Peringkat 1 di Pantai Hiburan, Rompin, Pahang pada Rabu.

Mohd Shukri Sulaiman dan Sharifah Ruqayyah Syed Hamzah yang masing-masing bertanding dalam kategori antarabangsa lelaki dan wanita menanam azam tinggi untuk memberikan cabaran sengit kepada peserta dari luar negara khususnya beberapa nama besar dalam sukan kanu antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Ini kali pertama saya bertanding dalam saingan kanu. Tetapi semangat saya cukup berkobar-kobar kerana dapat bersaing dengan beberapa peserta ternama dari luar negara, apatah lagi mereka hadir dengan reputasi yang cukup tinggi selaku juara dunia.

"Secara peribadi, saya meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dalam setiap peringkat walaupun sedar persaingan sengit. Jadi saya perlu mengekalkan stamina untuk kekal kompetitif dalam mengharungi lima peringkat nanti," katanya.

Iklan

Antara beberapa nama besar dalam sukan kanu antarabangsa yang juga bekas juara dunia termasuklah Mackenzie Hynard, David Mocke, Daniele Mackenzie serta pasangan suami isteri, Rob dan Julie Jenkinson.

Sementara itu, Sharifah Ruqayyah berkata, dia cukup teruja dapat berdepan dengan beberapa pendayung pilihan khususnya dua bekas juara dunia, Daniele Mackenzie dari New Zealand dan Julie Jenkinson dari Australia.

Iklan

"Ini saat yang sememangnya saya tunggu-tunggu apabila dapat bersaing dengan jaguh dunia seperti Daniele dan Julie. Mereka antara nama yang cukup besar dalam sukan kanu dan ini sudah semestinya pengalaman baharu bagi saya untuk berdepan dengan jaguh dunia seperti Daniele dan Julie.

"Paling utama, saya mahu menjadikan kejohanan ini sebagai persiapan terbaik sebelum beraksi pada Sukan Malaysia (Sukma) tidak lama lagi apabila mewakili Pahang. Harap saya mendapat sesuatu yang positif daripada kejohanan ini," ujarnya.

Selepas Peringkat 1 di Pantai Hiburan, Peringkat 2 bakal berlangsung di Pantai Lagenda; Pekan pada Khamis diikuti Peringkat 3 di Pantai Balok, Kuantan (Jumaat); Peringkat 4 di Pantai Cherating, Kuantan (Sabtu) dan Peringkat 5 di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan (Ahad).