SHAH ALAM - Pas seharusnya tidak menjadi alat dan diperkudakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, Pas perlu lebih menonjol ke hadapan kerana parti Islam itu telah mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi berbanding Bersatu.
"Jangan biarkan Bersatu guna jentera Pas untuk menang kerusi Perikatan Nasional. Sebab kalau kita lihat Bersatu di aspek akar umbi sangat lemah berbanding dengan Pas. Bagaimana kita tengok Pas bermula dan sehingga kini sudah ada di peringkat Persekutuan.
"Kenapa saya kata palsu kerana kekuatan Bersatu ada itu dipinjamkan daripada ahli Parlimen UMNO yang melompat ke Bersatu. Jadi, bagaimana dengan kekuatan palsu ini, Pas terpaksa tanggung lagi dan diperkudakan oleh Bersatu," katanya dalam Wacana Sinar Harian siri ke-364 bertajuk PRU15: Pakai Logo Apa pada Selasa.
Wacana itu turut menampilkan Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin dan Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Menurutnya, bukan bermakna Pas tidak boleh bekerjasama dengan Bersatu sebaliknya tidak boleh terlalu sayang dengan parti tersebut.
"Seperti UMNO kita lihat sudah ada kekuatan di peringkat akar umbi dan Pas juga ada kekuatan di peringkat akan umbi. Jadi, kenapa kita perlu beri ruang kepada Pas dipergunakan dan menyebabkan Bersatu menang PRU akan datang kerana kekuatan Pas," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berpandangan poster boy tidak sesuai dilakukan oleh parti pada PRU akan datang terutamanya dalam konteks di negara ini.
"Kalau kita lihat di negara maju atau negara demokrasinya ke hadapan, poster boy itu bukan setakat ada di poster sahaja tetapi dia keluar berdebat dan membincangkan apa yang ingin dibawa oleh parti tersebut.
"Selain itu, apa gagasan yang mahu diperjuangkan dan sebagainya. Tetapi, debat dalam budaya politik kita masih jauh. Ada yang menarik diri tak sanggup berdebat, jadi apa guna ada poster boy.
"Saya lihat dalam konteks Malaysia, perjuangan ideologi itu lebih menyeluruh berbanding kita ada poster boy," katanya.