KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan mesej tular mendakwa terdapat pihak menggunakan kanak-kanak jalanan untuk melakukan jenayah.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, pihaknya telah mengesan satu mesej tular di media sosial yang didakwa sebagai notis amaran dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan balai polis seluruh negara.
Iklan
Iklan
"Mesej itu mendakwa terdapat pihak menggunakan kanak-kanak jalanan yang memegang kertas tertulis alamat rumah mereka sebagai taktik untuk meraih bantuan bagi dihantar pulang.
"Mana-mana individu yang membantu menghantar kanak-kanak tersebut ke alamat yang tertera didakwa akan dibunuh, organ dicuri dan dirogol," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Skandaguru berkata, pihaknya mengesahkan mesej yang ditularkan tersebut adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh KDN atau PDRM.
Beliau berkata, PDRM menasihati orang ramai jika berhadapan dengan kejadian seperti yang dinyatakan dalam mesej tersebut, bawa kanak-kanak yang dijumpai itu ke balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang mesej tidak berasas serta ditentukan kesahihannya," katanya.