PIIMP cari dana bina garaj, bantu OKU secara percuma

Iklan
Rosnah dan Sabarudin membuka gerai mi segera dalam usaha mencari dana buat membina garaj untuk pelatih PIIMP.

MARAN - Dalam usaha mencari dana membina garaj sebagai bengkel latihan golongan orang kurang upaya (OKU) di sini, Pertubuhan Insan Istimewa Maran Pahang (PIIMP) membuka gerai menjual mi segera di Anjung Selera Bandar Jengka sejak Mac lalu.

Pengerusinya, Rosnah Gosti Hassan, 50 memberitahu, ia adalah usaha pertubuhan itu selepas pelbagai usaha mendapatkan dana menerusi pelbagai pihak masih belum mendapat maklum balas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gerai itu juga menjadi lokasi buat ahli pertubuhan berdikari selain mencari dana terbabit.

"Selain itu, saya dan suami juga menjual aiskrim perisa buah-buahan dengan harga 50 sen sebatang pada waktu malam di tasik joging bandar Maran sebagai usaha mencari dana," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Ujar beliau, pertubuhan itu telah ditubuhkan secara rasmi pada dua tahun lalu dan dengan ahli terkini kira-kira 300 orang yang terdiri pelbagai kecacatan fizikal dan mental.

"Saya sendiri bergelar OKU selepas terlibat dalam kemalangan ketika mengajar calon memandu pada 2018 menyebabkan lebam otak pada anggota badan akibat otak kanan mengalami gegaran manakala suami, Sabarudin Abu Bakar, 51, turut bergelar OKU fizikal kaki akibat kemalangan dua tahun lalu.

Iklan

"Empat anak kami juga, tiga perempuan serta seorang lelaki juga mengalami pelbagai masalah termasuk austisme manakala dua anak suami sebelum ini juga berdepan keadaan gagap dan hiperaktif menyebabkan ia antara pendorong kuat saya menubuhkan pertubuhan ini," kata bekas guru memandu itu lagi.

Rosnah yang juga mengalami penyakit saraf mata dan penghidap gangguan spinal bifida itu memberitahu, para pelatih diberikan bimbingan dan kemahiran secara percuma di pertubuhan tersebut.

Rosnah (kiri) bersama pelatih PIIMP yang diberi bimbingan dan kemahiran secara percuma.

"Pelbagai kemahiran saya ajar sendiri mengikut kemampuan dan masalah yang dihadapi mereka, antaranya kelas kraf tangan, jahitan, masakan dan andaman serta pengurusan pejabat.

"Saya sendiri lengkapkan diri menyertai pelbagai kelas kemahiran supaya dapat membantu mereka yang memerlukan bantuan," tambah Rosnah.

Jelas beliau, buat masa ini, kekangan keadaan pejabat yang kecil menyebabkan satu garaj khusus perlu dibina dalam tempoh secepat mungkin untuk memenuhi keperluan pelatih.

"Saya sangat berharap jika ada mana-mana pihak dapat membantu kami dalam merealisasikan pembinaan garaj selain dana untuk kelas-kelas kemahiran mereka sekali gus dapat membantu lebih ramai OKU berdikari dan mandiri agar dapat inovatif demi masa depan.

"Berikan sokongan kepada pertubuhan ini agar nasib OKU lebih terbela dan mereka yakin bergaul dengan masyarakat sekali gus dapat mencari sumber pendapatan sendiri," kata Rosnah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan ke dalam akaun Agrobank (1006311000005983) atas nama Pertubuhan Insan Istimewa Maran Pahang atau menghubungi Rosnah di talian 017-3249507 untuk maklumat lebih lanjut.