SEMINGGU sudah berlalu sambutan Hari Merdeka. Kita boleh lihat di media sosial bagaimana meriah dan gemilangnya sambutan di Dataran Merdeka.
Rakyat Malaysia pelbagai kaum bersemangat, bergembira dan menyerlahkan rasa kecintaan kepada negara.
Minggu depan pula kita akan sambut Hari Malaysia sebagai simbolik penyatuan Semenanjung, Sarawak dan Sabah di bawah satu negara dan bendera.
Apakah elemen utama yang berjaya membawa Malaysia di mercu kejayaan walaupun hidup dalam sebuah masyarakat majmuk?
Perpaduan. Satu perkataan yang mungkin kita mula fahami maknanya secara formal, saat kita pertama kali menginjakkan ke darjah satu dahulu.
Ketika di sekolah kita sering diajar tentang pentingnya menjaga perpaduan. Ketika di sekolah kebangsaan juga kita secara tidak langsung dilingkari dengan semangat perpaduan itu.
Rakan sekelas di sebelah kiri kita mungkin bernama Amran bin Sudin, di sebelah kanan dekat dengan pintu masuk budak bernama Tan Siow Meng, duduk di tengah kelas murid perempuan bernama Kumari A/P Ramasamy dan yang di tempat duduk di belakang kelas pula mungkin bernama Manjeet Singh.
Mungkin di luar kelas, kita akan berjumpa pula dengan Eh Tong murid keturunan Siam, Melinda Gomez anak Serani yang berasal dari Melaka atau Sintok A/K Elau, murid Orang Asli.
Dalam satu kelas atau sekolah ada pelbagai kaum dan itulah sebenarnya keunikan serta asas keutuhan negara Malaysia.
Satu negara dengan berlainan bangsa, agama dan budaya berkongsi nikmati serta bersama-sama membangunkan Keluarga Malaysia tercinta tanpa rasa prejudis antara sama lain. Rasa saling hormat menghormati, sifat percaya dan fahami memahami antara satu sama lain perlu menjadi teras utama dalam kehidupan setiap Keluarga Malaysia. Barulah keutuhan jiwa bangsa dan kedaulatan negara tak tergugat.
Sememangnya perpaduan boleh diibaratkan seperti tiang-tiang yang menjunjung keutuhan rumah.
Jika hanya satu tiang rumah tak akan mampu berdiri. Jika cuma dua tiang; rumah tidak akan kukuh. Kalau tiga tiang rumah mungkin akan senget. Tapi jika ada lima atau enam tiang menyokong pastinya rumah akan berdiri kukuh. Tak roboh dilanda badai, tak goyang dipukul ribut dan tak hanyut dek banjir.