KUALA NERUS – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang membaik pulih kira-kira 400 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang terdapat di seluruh negara pada tahun ini.
Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, usaha itu membabitkan peruntukan sebanyak RM9 juta dan kebanyakan tabika dibaik pulih kerana terjejas akibat banjir selain keadaannya uzur serta berlaku kerosakan.
Program turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin itu melibatkan seramai 424 murid tabika Kemas di seluruh Terengganu bagi menonjolkan kemahiran dan bakat masing-masing dalam lapan acara dipertandingkan.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata, KPLB juga akan membina 73 tabika Kemas baharu dengan 10 darinya adalah di Terengganu.
Jelas beliau, kelulusan tabika baharu tersebut akan memberi manfaat pendidikan kepada lebih 1,800 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun di luar bandar.
"Kita memang merancang untuk membina tabika baharu pada setiap tahun berdasarkan permohonan di peringkat daerah, negeri dan ia adalah seiring dengan pertambahan kanak-kanak susulan peningkatan penduduk,” katanya.
Setakat ini katanya, Kemas mempunyai lebih 10,000 tabika melibatkan 200,000 murid di seluruh negara.
Sementara itu, Ramlan memaklumkan bahawa kira-kira 10 peratus tabika Kemas terpilih akan diterapkan elemen Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Kemas bermula tahun depan.
Menurut beliau, tabika tersebut akan dibekalkan komputer riba, televisyen pintar dan jaringan jalur lebar sebelum kemudahan itu dikembangkan ke tabika Kemas lain di seluruh negara.
"Melalui pendigitalan ini, kita harap dapat menyediakan pelajar lebih awal ke arah pendidikan digital setanding dengan tabika swasta lain,” katanya.