Bercampur-baur perasaan apabila meneliti hantaran Menteri Kewangan Malaysia (MOF) dalam media sosial berkenaan jumlah subsidi yang dikeluarkan kerajaan bagi tahun 2022.
RM77.7 bilion bukan kecil malah hampir satu pertiga daripada Belanjawan 2022 yang asal dan ini tidak termasuk ‘supplementary budget’. Jika dibandingkan dengan peruntukan untuk pembangunan pula, tentunya kita akan insaf akan masa depan negara.
Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur atas keprihatinan kerajaan menyediakan satu peruntukan yang cukup besar untuk subsidi. Polisi fiskal kerajaan ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan hidup rakyat. Tanpa subsidi, sudah tentu kadar inflasi negara akan mencanak seperti Amerika dan Eropah sekitar 9 hingga 11 peratus.
Malah, kalau tidak kerana intervensi kerajaan menetapkan harga siling ayam, sudah pasti ayam dijual antara RM11 hingga RM13 sekilogram. Harga siling hanya boleh dilaksanakan melalui subsidi yang bernilai RM700 juta yang disalurkan kepada penternak ayam dan telur sehingga 31 Julai 2022.
Keadaan memang memaksa, disebabkan ‘cost push factor’, hampir semua harga input kepada pemprosesan naik. Tiga faktor yang menyebabkan kenaikan iaitu kekurangan bekalan, meningkatnya permintaan dan wujudnya persaingan di mana ada negara yang sanggup membayar lebih untuk dapatkan bekalan.
Negara kita pengeluar ayam dan biasanya pengeluaran berlebihan sehingga 15-20 peratus membolehkan ayam hidup dieksport ke Singapura. Namun, benih ayam mahupun input ayam seperti jagung dan soya semuanya diimport menyebabkan kos pengeluaran turut meningkat.
Penyelewengan
Sebanyak 41.7 peratus daripada keseluruhan subsidi atau RM32.4 bilion dibelanjakan untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG). Kita maklum petrol dan diesel adalah ‘enjin’ kepada ekonomi. Jika kos ini naik, maka kos pengeluaran dan kos dipihak pengguna turut naik.
Semua suka subsidi. Siapa yang tidak suka? Lumrahlah bila harga RON97 meningkat, ramai yang beralih kepada petrol bersubsidi RON95. Mengikut data, penggunaan petrol di Malaysia adalah 14.4 bilion setahun dan 13 juta liter adalah RON95.
Perbezaan antara RON95 tanpa subsidi dengan RON97 ialah 20 sen seliter. Bermakna kerajaan subsidi RM2.05 untuk setiap liter RON95 atau RM26billion setahun. Ini bukan untuk golongan B40 yang bermotosikal atau M40 yang bawa Proton Saga, tetapi M40 yang guna Honda HRV serta T20 yang naik Mercedes.
Jika dibandingkan harga RON95 dan LPG di negara jiran seperti Indonesia, kita akan sedar betapa harga komoditi tersebut jauh lebih murah di negara kita.
Satu lagi subsidi bersifat pukal ialah minyak masak tulen paket 1 kilogram (Cooking Oil Stabilation Scheme – COSS) dan minyak masak tulen botol yang pernah disubsidi melibatkan RM3 bilion daripada keseluruhan subsidi. CPO di pasaran dunia yang melonjak kepada RM7,000 setan metrik menyebabkan subsidi yang ditanggung kerajaan melonjak.
Tidak masuk akal minyak yang sepatutnya dijual pada harga RM7.00 setiap kilogram dijual pada harga RM2.50, RM3.50 subsidi setiap kilogram. Kerajaan menyediakan 60 juta kilogram sebulan atau 720 juta kilogram setiap tahun. Mustahil tidak mencukupi jika tiada ketirisan atau memang semua rakyat Malaysia sudah beralih kepada minyak masak bersubsidi 1kg?
Masih ingat apabila kerajaan tarik balik subsidi minyak botol? Harga dari RM34.70 melonjak menjadi RM42 untuk botol 5kg. Akibat jurang perbezaan ketara antara harga bersubsidi dengan harga tidak bersubsidi, membuka ruang kepada pengkhianat negara melakukan penyelewengan demi penyelewengan. Keputusan telah dibuat, kerajaan terpaksa menanggung reaksi rakyat ketika itu.
Manfaat untuk semua
Kerajaan telah beberapa kali menolak cadangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menaikkan tarif elektrik domestik. Subsidi elektrik mudah untuk dibuat bersasar. Apakah kerajaan masih dapat bertahan atau kita sebagai pengguna harus bersiap-sedia terhadap realiti yang bakal tiba.
Subsidi kepenggunaan lain-lain yang berjumlah RM1.5 bilion juga bersifat bersasar lebih kepada subsidi kos pengangkutan dan kos pelabuhan untuk membawa barang-barang keperluan seperti beras, tepung, gula, minyak masak, LPG, RON95 dan diesel dari Semenanjung ke Labuan dan pendalaman Sabah serta Sarawak, di bawah Program Penyeragaman Harga dan Community Drumming.
Topografi yang berbeza dan jarak yang luas menyebabkan harga kepada pengguna akan meningkat jika kerajaan tidak membiayai kos pengangkutan.
Selebihnya iaitu RM25.7 bilion adalah subsidi dalam bentuk bantuan-bantuan lain meliputi bantuan tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian. Dan subsidi ini juga bersifat bersasar. Satu keperluan mendesak.
Kerajaan harus cepat dan kreatif mencari jalan mengurangkan kos subsidi pukal sama mengurangkan julat amaun subsidi seperti subsidi minyak masak tulen botol dan ayam sekarang ini atau mencari mekanisme lain.
Kerajaan pastinya mencari jalan bagaimana subsidi itu dapat disalurkan untuk pembangunan yang menguntungkan rakyat pada jangka pertengahan dan panjang seperti pembinaan infrastruktur terutama di luar bandar. Objektif ini tidak akan tercapai tanpa kolaborasi semua pihak termasuk pengeluar, peniaga dan pengguna.
Kerajaan telah memainkan peranan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Kerajaan tidak boleh terus memberi tongkat subsidi. Terlalu banyak subsidi akan menjadi toksik dan rakyat akan hilang daya-juang dan agiliti dalam hidup. Kini, terserah kepada rakyat untuk sama-sama membina negara dan masa depan yang lebih progresif dan berdaya maju.
Di era pasca pandemik yang serba mencabar, negara memerlukan rakyatnya bersatu hati, memiliki paradigma dunia kelas pertama dan yang terpenting tidak bermentaliti subsidi. Bersediakah kita?