JUARA dunia lapan kali termasuk bagi kelas 125cc pada 2010 dan Moto2 pada 2012 lalu, Marc Marquez mengesahkan dirinya bakal kembali berentap dalam saingan MotoGP.
Menurut pelumba Sepanyol berusia 29 tahun itu, dia sudah mula menjalani latihan di gimnasium sejak dua minggu lalu dan mengikuti sesi ujian di Litar Misano, Selasa lalu.
Malah, Marquez turut teruja apabila melengkapkan perlumbaan 39 pusingan (laps) pada kedudukan ke-17 dan hanya dibezakan 0.864 saat daripada pelumba Aprilia, Aleix Espargaro pada kedudukan ke-16.
"Walaupun sudah lama berlumba, tetapi kini saya rasa sungguh teruja untuk 'kembali berlumba' setelah berehat sekian lama.
"Apapun, perjalanan saya masih jauh dan saya perlu bersaing dengan ramai pelumba muda yang hebat ketika ini,” katanya.
Untuk rekod, Marquez terpaksa berehat panjang selepas terlibat dalam nahas di Litar Jerez, Sepanyol pada musim 2020 lalu yang mengakibatkan beliau mengalami patah tulang humerus (bahu ke siku).
Kecederaan turut menyaksikan Marquez menjalani pembedahan pada lengan kanannya dan perlu berehat untuk tempoh yang panjang bagi memastikan kecederaan berkenaan benar-benar pulih.
Sementara itu, Marquez turut teruja dengan prestasi jentera yang digunakannya pada sesi ujian berkenaan.
Katanya, jentera yang digunakan pada saingan MotoGP itu jauh lebih pantas berbanding jentera yang digunakannya sebelum ini.
"Saya akui, jentera yang saya gunakan pada sesi ujian lalu memang agak laju dan membuatkan saya berasa kekok untuk seketika.
"Ternyata ia merupakan satu lagi cabaran yang perlu saya lalui untuk kembali berlumba kali ini,” katanya.