Kajian asing kuasa Peguam Negara langkah tepat: IDEAS

Iklan
Dr Tricia Yeoh

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk mengkaji cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya bagi memastikan institusi kehakiman negara sentiasa bebas serta telus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung perkara tersebut seharusnya dilaksanakan dengan segera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kajian berhubung pemisahan kuasa itu merupakan langkah tepat memandangkan pelbagai kes rasuah berprofil tinggi disabitkan dengan barisan kepimpinan tinggi negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebagai contoh katanya, kajian kes melibatkan skandal berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyaksikan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan digantikan dengan Tan Sri Apandi Ali.

Iklan

"Tindakan campur tangan pengaruh politik dalam sistem kehakiman mengakibatkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi keadilan negara musnah, lantaran perbuatan itu dilakukan di atas kepentingan peribadi

"Diharap ia boleh dijadikan sebagai rujukan dan menjadi titik permulaan yang baik untuk membantu kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan penting ini," katanya dalam satu kenyataan kepada kru Rasuah Busters pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Tricia berkata, kebebasan kedua-dua institusi penting dalam badan kehakiman itu adalah perkara yang mustahak untuk dilaksanakan kerana ia sebahagian daripada pakej pembaharuan yang digerakkan demi keadilan dan kesejahteraan negara.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan keadilan dan kestabilan politik negara termasuk pindaan perlembagaan melibatkan Akta Anti Lompat Parti, Akta Perkhidmatan Parlimen serta Undang-undang Pembiayaan Politik.

Jelasnya lagi, kajian berhubung pengasingan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya merupakan satu harapan terbaik buat rakyat Malaysia melihat sebuah keadilan ditegakkan di negara ini.

Selain itu katanya, usaha memisahkan kedua-dua kuasa kehakiman itu bakal menyaksikan pengukuhan kedaulatan undang-undang sebagai nilai teras demokrasi masyarakat Malaysia.

Menurutnya, IDEAS secara terbuka bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk menawarkan pandangan dan cadangan berhubung pelaksanaan perkara penting tersebut.

"Selain kertas kerja boleh disediakan oleh IDEAS dan sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bersih, kajian yang dilakukan ini juga telah dilaksanakan oleh jawatankuasa terdahulu seperti Jawatankuasa Pembaharuan Institusi.

"Kesemua yang disediakan oleh IDEAS ini boleh dipertimbangkan secara menyeluruh oleh kerajaan demi pengukuhan institusi kehakiman negara.

"Datuk Seri Wan Junaidi juga sebenarnya sudah boleh memulakan proses pengasingan kuasa ini dengan menurunkan bahagian tertentu dan tugas prosedur di dalam Pejabat Peguam Negara yang melibatkan pendakwaan.

"Ia sudah boleh dilakukan tanpa melibatkan pindaan perlembagaan," katanya.