RIYADH - Kementerian Haji dan Umrah (MOHU) Arab Saudi sekali lagi menegaskan bahawa umat Islam yang memperoleh visa pelancong dibenar menunaikan ibadah umrah semasa berada di negara itu, tetapi tidak ketika musim haji.
Perkara ini selari dengan pengumuman pindaan ke atas peraturan visa itu oleh Kementerian Pelancongan Arab Saudi minggu lalu yang antara lain menyatakan pemegang visa pelancongan tidak membolehkan pemegangnya menunaikan haji atau umrah ketika musim haji.
MOHU menerusi perkongsian infografik di Twitter pada Rabu menjelaskan pihaknya boleh mengeluarkan permit umrah dan ziarah kepada warga daripada 49 buah negara seluruh dunia yang layak mendapatkan visa secara dalam talian (e-visa) menerusi portal 'Visit Saudi Arabia' atau sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Arab Saudi.
Malaysia adalah antara tujuh negara Asia yang layak mendapat e-visa Saudi selain Brunei, China (termasuk Hong Kong dan Macau), Jepun, Kazakhstan, Singapura dan Korea Selatan.
Menurut MOHU lagi, pemegang e-visa pelancongan boleh memohon permit umrah dan ziarah menerusi aplikasi telefon pintar 'Eatmarna' serta memilih sendiri hari dan masa melakukan ibadah berkenaan mengikut kesesuaian mereka.
Khamis lalu, Arab Saudi mengumumkan peraturan baharu yang membenarkan pemegang taraf pemastautin GCC memohon e-visa selain penduduk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Kesatuan Eropah (EU) memohon visa semasa ketibaan (VOA).
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khateeb, menandatangani perintah menteri yang akan menjadikan Arab Saudi lebih mudah diakses berikutan permohonan visa dipermudahkan dan dipercepatkan.
Pemegang taraf pemastautin GCC bermakna individu mempunyai kerakyatan negara GCC iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.
Pemegang visa pelancongan dan komersial yang sah dari UK, AS atau mana-mana negara di bawah Perjanjian Schengen boleh mendapatkan VOA, sekiranya pemohon pernah melawat negara yang mengeluarkan visa itu sekurang-kurangnya sekali. - Bernama