KLCAH anjur Pesta Tanglung promosi keharmonian masyarakat

Iklan
KK Chai (tengah) semasa sidang akhbar Pesta Tanglung di Menara KK, Bandar Tasik Selatan pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) bakal menganjurkan Pesta Tanglung di Jalan Petaling di sini pada Jumaat selepas dua tahun acara tersebut tidak diadakan akibat pandemik Covid-19.

Presiden KLCAH, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, acara yang dianjurkan untuk kali kelima sejak tahun 2011 itu dibuat sempena sambutan Hari Malaysia dan Pesta Bulan akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tersebut diadakan dengan kerjasama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Pesta Tanglung ini dijangka menarik lebih 500 pengunjung hadir termasuk rakyat tempatan dan pelancong asing.

Iklan

"Tujuan kami mengadakan acara ini adalah untuk meraikan Pesta Bulan dan Hari Malaysia bersama seluruh rakyat, di samping mempromosikan keharmonian serta perpaduan masyarakat di bawah konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Menara KK, Bandar Tasik Selatan, di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, KK Chai berkata, acara tersebut bakal dimeriahkan dengan persembahan tarian naga dan singa, selain pihaknya akan berjalan di sepanjang Jalan Petaling bagi merasai suasana pesta tersebut.

Ujarnya, sebanyak 500 tanglung dan kuih bulan yang ditempah khas oleh pihak KLCAH juga akan diedarkan kepada para pengunjung yang hadir ke acara tersebut.

"Pada kali ini, Jalan Petaling dipilih sebagai lokasi penganjuran acara tersebut bagi mempromosikan tempat pelancongan dan budaya masyarakat Cina di Malaysia.

"Berdasarkan undian kota terbaik di dunia yang dibuat oleh badan responden, InterNations pada tahun 2021, Kuala Lumpur menjadi bandar raya teratas bagi ekspatriat untuk tinggal dan bekerja di luar negeri.

"Oleh itu, kami berharap Pesta Tanglung ini akan membantu promosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan domestik dan luar negara,” katanya.

Turut hadir ke sidang media berkenaan ialah Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ang Say Tee dan Naib Presiden KLCAH, Datuk Ada Poon Yin Hoong.