Warga emas digesa ambil suntikan vaksin influenza

Iklan
Golongan warga emas dinasihatkan supaya mengambil suntikan influenza bagi mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian.

PETALING JAYA - Warga emas digesa mendapatkan suntikan vaksin influenza bagi mencegah penyakit sekali gus mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, lebih 70 peratus kemasukan ke hospital dan 85 peratus kematian berkaitan selesema berlaku dalam kalangan pesakit berusia 65 tahun ke atas.

Iklan
Iklan

"Selesema merupakan penyakit respiratori yang boleh menjangkiti orang tua dengan teruk dan pantas. Oleh itu, penting bagi mereka mendapatkan vaksin untuk jangka hayat lebih lama dan lebih menikmati kehidupan.

"Selain itu, adalah penting untuk setiap individu kekal sihat, mengekalkan diet sihat dan kekal aktif secara fizikal selain mendapatkan rehat dan tidur yang cukup dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran kempen Preventing the Flu at 65 and Beyond anjuran Immunise4Life (IFL) dengan seruan 'Flu Prevention, I Get It Done' (Pencegahan Influenza, Akan Ku Laksanakan) di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Dr Noor Azmi membentangkan ‘Tujuh Amalan Kunci Untuk Penuaan Yang Bahagia dan Sihat’ sebagai gaya hidup yang disyorkan untuk warga emas bagi membantu mengekalkan kesihatan, kebolehan untuk berdikari serta kualiti hidup mereka, dengan satu daripadanya adalah mencegah selesema.

Iklan

Kempen berkenaan merupakan sebahagian inisiatif Act of Love (AOL) yang dilancarkan pada 2019, melibatkan kerjasama pelbagai persatuan perubatan dan kesihatan tempatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknik IFL, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail menasihatkan golongan warga emas supaya mengamalkan sikap proaktif dan mendapatkan suntikan selesema daripada menunggu wabak.

"Jadikan pengambilan vaksin sebagai komitmen tahunan. Jangan memandang rendah terhadap influenza kerana hanya satu jangkitan boleh menyebabkan anda dan orang tersayang mengalami kesan jangka panjang yang teruk.

"Pada masa sama, marilah kita menyokong generasi lebih tua dalam pencegahan influenza melalui pendekatan menyeluruh masyarakat. Ingatkan ibu bapa kita yang sudah berusia supaya mereka mengambil suntikan influenza setiap tahun,” katanya.

IFL merupakan inisiatif pendidikan komuniti yang dipacu pakar untuk menggalakkan imunisasi bagi semua peringkat umur terhadap penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, diasaskan pada 2013 oleh Kementerian Kesihatan, Persatuan Pediatrik Malaysia dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia. - Bernama