KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) memilih Parlimen Gombak sebagai lokasi pertama Rapat Mega Keadilan yang akan diadakan di tapak bazar Taman Melawati pada 11 September ini.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, program itu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta bagi memperkenalkan saf pimpinan baharu PKR diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan, Rafizi Ramli.
Menurutnya, siri jelajah itu akan diadakan di setiap negeri mengikut jadual yang akan dimaklumkan kemudian.
"Pemilihan lokasi lebih terarah di kerusi-kerusi dimenangi PKR namun telah dikhianati oleh calon yang diundi rakyat.
Beliau berpandangan, siri jelajah itu penting bagi mengembalikan kepercayaan pengundi kepada sistem demokrasi yang telah dicemari oleh pemimpin lompat parti.
"Kerosakan oleh pengkhianat ini telah menyebabkan pengundi hilang keyakinan terhadap sistem demokrasi. Ia perlu dibaiki diperbetulkan dan dibersihkan.
"Saya ada bertemu dengan pengundi yang mengatakan kekecewaan hingga ada yang beritahu tidak mengundi kerana tindakan para pengkhianat 'kitol'0 dan 'mendeliar' ini," katanya.
Beliau menyasarkan sekurang-kurangnya 3,000 orang hadir pada program ceramah yang akan bermula jam 9 malam dan berakhir sebelum jam 12 malam.