Abu mayat Zhan Feng dijangka dibawa pulang Jumaat ini

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 4 September lepas.

IPOH - Abu mayat Zhan Feng, 23, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan meninggal dunia pada 11 Mei lepas di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar dijangka dibawa pulang ke Malaysia, Jumaat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang yang berada di Bangkok berkata, abu mayat akan dibawa pulang oleh ibu bapa mendiang ke kediaman mereka di Panorama Lapangan Akasia, Ipoh sebelum disemadikan mengikut upacara keagamaan.

Iklan
Iklan

"Sekarang kami dalam perjalanan ke tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi untuk menuntut mayat dan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Keputusan DNA si mati dengan bapanya perlu disahkan 99.9 peratus dahulu dan harap dapat sampai ke Malaysia pada Jumaat ini dengan menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dahulu,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Iklan

Ahad lepas, Bernama melaporkan pasangan suami isteri warga Malaysia ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya yang hilang, tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui anaknya itu sudah pun meninggal dunia 11 Mei lepas di Hospital Mae Sot.

Lebih menyedihkan apabila Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun dari Ipoh mendapat tahu bahawa anak sulungnya, Zhan Feng, 23, menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan sindiket pemerdagangan orang serta diseludup ke Myawaddy, Myanmar selain dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

Iklan

Pasangan suami isteri itu berlepas ke Bangkok pada 30 Ogos dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anak mereka yang dikatakan sakit dan menerima rawatan di hospital untuk dibawa pulang ke Malaysia bagi dapatkan rawatan.

Bagaimanapun mereka diberitahu Zhan Feng meninggal dunia pada 2 pagi 11 Mei dan doktor percaya mangsa didera sebelum ditinggalkan di hospital pada 11 April malah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu dengan menggunakan nama dan nombor pasport palsu menyebabkan pihak hospital tidak dapat menghubungi pihak kedutaan dan keluarga untuk membincangkan keadaan kesihatan dan rawatan.

Mangsa kemudian meninggal dunia sebulan kemudian kerana tidak mendapat rawatan lanjut sebelum jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi.

Zhan Feng, pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Guru (IPG) itu belepas ke Bangkok untuk bercuti pada 19 Januari lepas dan bertemu rakan media sosialnya.

Dia sepatutnya pulang ke Malaysia untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya pada 5 Februari. Berikutan itu pada 7 Februai bapanya membuat laporan orang hilang.

Pada 31 Mac, pelajar itu menghubungi keluarganya dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan sebelum hilang khabar berita. - Bernama