KUALA LUMPUR - Diugut, dipukul dan dipaksa bekerja selama 18 jam setiap hari antara kesengsaraan yang ditempuh salah seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Laos.
Waris mangsa, Low Teck Lin, 44, berkata, anak saudaranya itu pada mulanya pergi ke Dubai untuk bekerja sebelum ke Thailand dan akhirnya dijual kepada ejen di Laos sejak tiga bulan lalu.
"Sekarang dia dekat sana kerja 18 jam, rambut dipotong botak. Tidur enam jam sahaja dan 18 jam kena paksa buat kerja 'scam'.
"Kalau mengantuk akan dipukul, dia orang (sindiket) bagi tiga bulan... kalau tak capai sasaran akan dijual ke ejen lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim menyifatkan tindakan kerajaan dalam menangani isu tersebut sebagai tidak memadai dan kurang efektif.
Hishamuddin menegaskan, tindakan lebih drastik perlu diambil pihak berkenaan dan menggesa kerajaan menggunakan hubungan diplomatik menerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mencari penyelesaian terbaik.
Katanya, pada era modenisasi ketika ini perbuatan sindiket berkenaan tidak ubah seperti penghambaan iaitu mangsa dipaksa untuk bekerja malah ada yang dijual kepada sindiket lain.
"Negara-negara terlibat merupakan ahli dalam ASEAN, kalau kita boleh ada hubungan perdagangan kenapa tak boleh ada hubungan keselamatan?
Dalam pada itu Hishamuddin memberitahu, pihak sindiket meminta bayaran sekitar RM70,000 hingga RM100,000 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa.
"Ada badan bukan kerajaan (NGO) yang dihantar untuk berunding tetapi rundingan itu membuka kepada yuran tebusan. Mangsa yang pergi bekerja ini kebanyakannya orang miskin dan tidak mampu bayar RM70,000 ke RM100,000 ini," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, MHO akan menghantar surat rasmi kepada Kementerian Luar Negara dan kedutaan negara-negara terlibat dalam usaha menyelesaikan masalah ini.
"Kita akan ke setiap kedutaan termasuk Laos, Myanmar, Kemboja dan kita akan bawa wakil NGO untuk menyatakan bantahan ini minggu hadapan.
"Kita akan hantar memorandum kepada Perdana Menteri untuk gunakan platform ASEAN untuk tamatkan sindiket ini,"ujar beliau.