LZNK rancang buka kilang proses padi

Iklan
Projek Smart Sawah oleh LZNK di Yan sudah mula dituai. FOTO LZNK

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyasarkan untuk mempunyai kilang memproses padi sendiri pada 2024 bagi membantu mengimbangi keperluan semasa terutamanya meringankan beban asnaf di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, kilang yang dijangka bernilai RM12 juta itu dilihat menjadi satu keperluan bagi memproses padi yang diusaha sendiri pihaknya melalui projek Smart Sawah di atas 200 hektar tanah di Yan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembukaan kilang itu juga mampu mengurangkan kos operasi memproses padi dan secara tidak langsung akan membuka ruang pekerjaan kepada golongan asnaf.

"Sekarang ini hanya tinggal dua syarikat Melayu sahaja yang mempunyai kilang padi berbanding 20 syarikat sejak 15 tahun lalu yang kini sudah mati.

Iklan

"Jadi kita perlu adakan kilang beras sendiri untuk imbangi keadaan semasa bersesuaian dengan projek Smart Sawah yang diusahakan oleh LZNK di atas 200 hektar tanah sawah,” katanya pada sidang akhbar di Menara Zakat Kedah, Alor Setar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bersama Syarikat Korporat, Agensi Kerajaan dan Swasta berjumlah keseluruhan RM2 juta.

Zakaria (enam dari kiri) bersama wakil syarikat yang membayar zakat perniagaan di Menara Alor Setar pada Rabu.

Iklan

Jelasnya, LZNK juga sudah mempunyai pelbagai kelengkapan dan mesin membajak sawah dan kini dalam proses untuk membeli tiga mesin padi bagi mengurus tanaman padi yang besar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain pula, LZNK juga akan memperkenalkan Program ‘Zakat On Job’ pada tahun depan bagi membantu golongan asnaf terutama penganggur untuk mendapatkan pekerjaan di agensi pembayar zakatnya.

Menurutnya, lebih 12,500 penerima zakat di negeri ini bakal menerima manfaat tersebut dan perkara itu sedang dalam proses perbincangan dengan agensi pembayar zakat bagi melaksanakannya.

"Agensi pembayar zakat akan menawarkan peluang pekerjaan kepada asnaf yang mana 50 peratus gaji akan dibayar oleh zakat dan 50 peratus oleh agensi itu.

"Ini yang dikatakan jangan bagi ikan tetapi bagi kail. Sekurang-kurangnya pada 2023 nanti kita akan catatkan sejarah dari segi pengurangan peratus orang yang menganggur selain mereka bukan lagi asnaf.

"Kita juga nak golongan ini apabila mereka mencari pekerjaan, mereka akan datang ke LZNK,” ujar Zakaria.