Beri lebih fokus pada pendidikan keperluan khas

Iklan
Presiden Persatuan OKU Sentral yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Ras Adiba Radzi (kanan) diberi penerangan oleh Dr Low Hui Min yang merupakan pemenang Anugerah Utama untuk Anugerah Inovasi Pendidikan Khas (SEIA) 2022 sempena Forum Laporan Negara Pusat Serantau Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara dalam bidang Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) di Melaka Raya, pada Rabu. - Foto Bernama

MELAKA - Fokus yang lebih harus diberikan kepada pendidikan berkeperluan khas dan kurang upaya (Special Educational Needs and Disabilities) (SEND) dalam pemeriksaan sekolah oleh kerajaan tempatan dan negeri serta pegawai penyiasat penjagaan sosial, selain pihak tersebut diberi kuasa tambahan.

Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi berkata, ia penting bagi memastikan sekolah dan pihak berkuasa tempatan mempunyai sumber yang diperlukan untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan sebaiknya.

Iklan
Iklan

"Sejak pandemik bermula, pelajar yang kurang upaya adalah kumpulan yang paling terkesan, menghadapi cabaran yang lebih besar dalam mendapatkan pendidikan berkualiti ekoran akses dan sokongan yang terhad.

"Oleh sebab itu, guru, pentadbir sekolah dan pihak berkepentingan yang berkaitan perlu bekerjasama dalam mempercepat pemulihan pembelajaran bagi mengurangkan kehilangan pembelajaran dan perubahan dalam pembelajaran keperluan khas menyebabkan kerugian pada generasi kanak-kanak terbabit,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Forum Laporan Negara bersempena Mesyuarat Lembaga Pengelola Ke-10 Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO SEN).

Hadir sama Pengarah Sekretariat SEAMEO SEN Dr Erthel Agnes Pascua-Valenzuela dan Pengerusi Lembaga Pengelola SEAMEO SEN Salmah Jopri.

Iklan

Mengulas lanjut, Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, kanak-kanak tersebut tidak mendapat sokongan tambahan yang layak mereka peroleh yang memberi impak bukan sahaja pada pendidikan, malah dalam banyak kes, kesihatan mental mereka turut terjejas.

Beliau berkata, keluarga mereka yang berada dalam situasi sukar, sementara itu, terperangkap dalam ‘mimpi buruk’ birokrasi, saling menuding jari dan kekeliruan; dalam sistem yang disifatkan beliau ‘melahirkan konflik dan putus asa’.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggesa kerajaan memulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan tentang Agenda Perubahan SEND dan perbincangan untuk membentuk sistem kebangsaan yang lebih kukuh bagi kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas dan kurang upaya untuk meningkatkan keyakinan ibu bapa.

"Antara yang perlu diberi perhatian ialah Pelan Pendidikan dan Penjagaan Kesihatan (EHCP) yang lebih ringkas menerusi pendigitalan untuk menjadikan ia lebih fleksibel, mengurangkan birokrasi dan membantu ibu bapa untuk membuat pilihan termaklum menerusi senarai penempatan yang bersesuaian dengan keperluan anak-anak mereka, sekali gus mengurangkan masa yang diambil dalam mencari sekolah yang tepat dan lain-lain,” katanya.

Beliau turut mendesak kerajaan supaya membina sekurang-kurangnya satu Pusat Genius Kurnia di setiap negeri.

"Setakat ini hanya ada dua Pusat Genius Kurnia di Malaysia. Diharapkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Kementerian Pendidikan akan memperhebat usaha agenda perubahan SEND,” katanya. - Bernama