Hatyai kembali meriah dengan pelancong Malaysia

Iklan
Pasar terapung (floating market) Khlong Hae Floating antara destinasi popular kembali sesak dengan pelancong. - Foto 123RF.

SONGKHLA - Hatyai, sebuah bandar raya yang terletak berdekatan dengan sempadan Thailand-Malaysia kini kembali meriah dan sesak dengan pelancong khususnya dari Malaysia.

Bandar raya ini menjadi destinasi pelancongan pilihan ramai rakyat Malaysia lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah di Malaysia sekarang.

Iklan
Iklan

Berikutan keadaan Covid-19 semakin pulih dan pembukaan semula sempadan Thailand-Malaysia sejak 1 April lalu, kemasukan pelancong bertambah ramai dan bandar Hatyai kini hidup kembali selepas dua tahun ‘sakit’.

Pasar terapung (floating market) Khlong Hae Floating antara destinasi popular kembali sesak dengan pelancong manakala hotel di Hatyai dan di sekitarnya habis ditempah.

Iklan

Presiden Persatuan Hotel-Hotel Songkhla, Hatyai (Hatyai Songkhla Hotels Association), Sitthipong Sitthiprapha berkata kemasukan pelancong Malaysia khususnya pada musim cuti sekolah amat memberangsangkan.

Ini sekali gus membantu merancakkan lagi ekonomi tempatan yang terjejas teruk ketika pintu sempadan ditutup dan pelbagai sekatan dikenakan bagi membendung penularan Covid-19 sejak awal 2020.

Iklan

Sejak cuti sekolah di Malaysia bermula pada 3 hingga 5 September, lebih 20,000 pelancong Malaysia memasuki Thailand melalui tiga pintu masuk ke Songkhla iaitu Sadao, Bukit Kayu Hitam dan Ban Prakop.

"Peningkatan ketibaan pelancong bakal merangsang pemulihan ekonomi pasca Covid-19,” kata Sitthipong kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Datuk Khoo Boo Lim berkata, rakyat Malaysia khususnya yang tinggal di negeri bersempadan dengan Thailand gemar membawa keluarga bercuti di Hatyai ketika cuti sekolah.

"Perjalanan yang singkat dan murah, makanan yang sedap serta tempat penginapan yang murah antara tarikan rakyat Malaysia suka berkunjung ke Hatyai,” katanya.

Lapan bulan pertama tahun ini, Thailand mencatatkan lebih 4.6 juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan rakyat Malaysia mendahului senarai iaitu seramai dengan 647,648 orang.

Thailand menjangkakan kedatangan pelancong Malaysia mencecah sejuta orang menjelang akhir tahun ini. - Bernama.