PEMAIN perseorangan lelaki nombor lima dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen serta bekas juara remaja dunia dua kali dari Malaysia, Goh Jin Wei merupakan antara nama yang bakal berentap pada Malaysia Purple League (MPL) di Shah Alam dan Genting Highlands, Oktober ini.
Selepas kali terakhir dianjurkan pada 2018, Ketua Pegawai Eksekutif MPL, Ho Khek Mong berkata, penganjuran kejohanan berkonsep liga itu menyaksikan lapan pasukan tempatan berentap merebut kejuaraan.
Khek Mong berkata, penglibatan pemain profesional antarabangsa berkelas dunia bertujuan memberi ruang kepada pemain kebangsaan untuk beraksi secara kompetitif di dalam format liga.
"Untuk edisi kali ini, empat negara iaitu Thailand, Indonesia, Vietnam dan Singapura bakal menghantar pemain terbaik mereka antaranya Chou Tien Chen (Taiwan), Nguyen Tien Minh (Vietnam) dan tiga pemain dari Singapura iaitu Terry Hee Yong Kai, Loh Kean Hean dan Jessica Tan Wei Han.
"Empat kelab tempatan akan turut menyertai liga kompetitif ini dalam merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah bernilai RM500,000," katanya kepada pemberita di sidang media MPL di Kuala Lumpur pada Rabu.
Selain Jin Wei, Khek Mong berkata, antara pemain profesional tempatan terlibat dalam MPL adalah pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan pemain perseorangan wanita, Sonia Cheah.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jana Santhiran berkata, penglibatan pemain antarabangsa merupakan medan latihan terbaik buat atlet negara selain membantu pembangunan badminton Malaysia.
"Pertandingan seperti ini amat penting, kerana ia membuka ruang untuk menampilkan bakat baharu sebagai pelapis negara,” katanya.
Untuk rekod, musim keenam kejohanan Purple League bakal membuka tirai pada 1 hingga 6 Oktober di Stadium Malawati, Shah Alam.
Sementara pusingan akhir dijadualkan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands dari 8 hingga 9 Oktober.