Keputusan pelitup muka dibuat berasaskan data, kajian

Iklan
Orang ramai dilihat masih memakai pelitup muka semasa tinjauan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu. -Foto Bernama. (Gambar kecil : Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya keputusan menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan sebagai pilihan individu, dibuat berasaskan data dan kajian saintifik dari sudut kesihatan awam.

Beliau berkata keputusan itu harus diterima semua pihak mengambil kira banyak negara termasuk United Kingdom kini sudah membenarkan rakyatnya tidak memakai pelitup muka ketika berada dalam kenderaan awam atau di tempat yang sesak.

Iklan
Iklan

"Ini satu perkembangan yang saya fikir agak baik. Kita tidak boleh paksa (orang ramai memakai pelitup muka) kalau situasi (pandemik Covid-19) sudah bertambah baik, dan kita juga perlu fikirkan keselesaan, cuma kena berjaga-jagalah.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku autobiograpi Tan Sri Ampikaipakan Kandiah berjudul ‘The Doctor Will See You Now: My Life with Ampikaipakan Kandiah’ yang ditulis oleh Thamayanthi Devi Ampikaipakan di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Vivekananda, Brickfields di sini hari ini.

Iklan

Petang tadi, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata bagaimanapun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk tidak memakainya.

Iklan

Pemakaian pelitup muka juga masih diwajibkan bagi situasi kes positif Covid-19 yang perlu ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk menjalani penilaian kesihatan, serta ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dan semasa berada di fasiliti kesihatan. - Bernama