Bekas TPR kongsi pengalaman cuba dirasuah RM5,000

Iklan
Fahmi Abd Moin

SHAH ALAM – Peguambela dan Peguamcara Fahmi Abd Moin mengakui pernah ditawarkan RM5,000 bagi melepaskan seorang pesalah dari tuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tahun 2002.

Beliau yang ketika itu baru bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Unit Pendakwaan Kuala Lumpur mengakui tawaran itu cuba diberikan oleh seorang peguam yang mewakili pesalah.

Iklan
Iklan

"Ketika itu saya baru dan masih keliru apakah tindakan dibuat oleh peguam terbabit betul atau tidak. Apabila saya pulang ke pejabat dan saya laporkan, ketua unit pendakwaan ketika itu mengatakan isu ini adalah sangat serius,” katanya ketika menjadi panelis Kompas Rasuah Busters: ‘Jatuh Pemimpin Kerana Korupsi’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian, pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah bekas Majistret dan Pesalah Rasuah, Mohd Firdaus Ramlan serta Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Falsafah UKM, Dr Muhamad Razak Idris manakala Hazlin Hussain bertindak sebagai moderator.

Iklan

Menurut Fahmi, dia diarah untuk melaporkan kes berkenaan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada ketika itu yang sekarang ini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Program Kompas Rasuah Busters bertajuk"Jatuh Pemimpin Kerana Korupsi” menampilkan (dari kiri) Moderator, Hazlin Hussain; bekas Majistret dan Pesalah Rasuah, Mohd Firdaus Ramlan; Peguambela dan Peguamcara, Fahmi Abd Moin dan Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin Dan Falsafah, UKM, Dr Muhamad Razak Idris yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Jadi, apabila saya melaporkan, pihak BPR ambil keterangan saya dan kita buat perangkap. Saya telah dipakaikan wayar dan perakam untuk berjumpa dengan peguam ini dan berbincang ada atau tidak tawaran yang diberikan kepada saya," katanya.

Iklan

Kata Fahmi, dia kemudian diarahkan untuk berjumpa dengan peguam berkenaan dan akhirnya peguam itu ditangkap.

"Kes telah dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan saya telah ceritakan balik apa yang berlaku. Akhirnya peguam itu didapati bersalah,” katanya.

Tambahnya lagi, kes itu dibawa hingga ke Mahkamah Rayuan dan peguam itu dikenakan dua tahun penjara kerana menawarkan sejumlah wang kepada penjawat awam untuk membebaskan anak guamnya.

"Inilah ujian kepada kami yang memegang amanah dan tanggungjawab. Moralnya sebagai penjawat awam atau pemimpin, kita akan diuji dengan perkara sebegini dan kesudahannya bergantung kepada diri kita untuk elak dari terjebak rasuah dan korupsi,” katanya.