Lee Tuck, Aguero kini pemain tempatan

Iklan

RAYUAN Sri Pahang FC untuk mendaftarkan dua pemain naturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 diluluskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

MFL memaklumkan keputusan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL dan pendaftaran Tuck dari England serta Aguero dari Argentina, akan berkuat kuasa pada pertandingan Piala Malaysia 2022.

Iklan
Iklan

Sri Pahang sebelum ini mendaftarkan Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan dalam tempoh pendaftaran kedua pada 28 Mei hingga 24 Jun lalu.

Sementara itu, MFL memaklumkan pindaan Perkara 3.4.9 (ii) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia dikuatkuasakan secara serta-merta bagi mengelakkan percanggahan antara Perlembagaan Malaysia dan Peraturan Pertandingan MFL.

Iklan

"Setelah mengkaji rayuan Sri Pahang FC mengenai perkara ini, MFL berpendapat implementasi peraturan pemain yang memperoleh kewarganegaraan di bawah Perkara 3.4.9 (ii) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia, bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

"Maka, peraturan pemain yang memperoleh kewarganegaraan akan dipinda dan berkuat kuasa serta-merta yakni implementasi peraturan tambahan lima tahun bagi pemain naturalisasi tidak lagi sesuai diguna pakai,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Iklan

Bagaimanapun, MFL menegaskan kelulusan mana-mana pemain naturalisasi akan dibuat berdasarkan Peraturan Kelayakan yang termaktub dalam Statut Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) iaitu tinggal selama lima tahun berturut-turut di negara tersebut sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tahun lalu membuat keputusan menghentikan program naturalisasi, namun pasukan Liga-M masih boleh membuat permohonan kepada kerajaan untuk menaturalisasikan pemain masing-masing.