Referendum mahu sertai Rusia ditangguhkan

Iklan
Majoriti penduduk Crimea menyokong operasi ketenteraan Rusia yang dilancarkan di Ukraine.

KIEV - Pihak berkuasa pendudukan Moscow di bandar selatan Kherson terpaksa menangguhkan referendum untuk menyertai Rusia.

Pengumuman itu dibuat pada Isnin selepas tentera Ukraine kembali merampas beberapa bandar yang ditawan Rusia sejak minggu lalu.

Iklan
Iklan

"Pungutan suara itu terpaksa ditangguhkan kerana situasi keselamatan setelah jambatan utama Kherson tidak dapat dilalui kerana dibedil tentera Ukraine.

"Ia tetap akan diadakan. Tiada siapa boleh menggagalkan rancangan ini walaupun tarikh sebenar belum ditetapkan,” kata Timbalan Ketua Pentadbiran yang dilantik Kremlin, Kirill Stremousov.

Iklan

Difahamkan, jambatan Antonovsky tersebut merupakan laluan penting untuk keluar dan masuk peralatan serta tentera Rusia.

Sejak beberapa minggu lalu, pihak berkuasa disokong Kremlin telah merancang untuk mengadakan pungutan suara bagi menyertai Rusia secara rasmi seperti yang berlaku terhadap pengilhakan Crimea pada 2014.

Iklan

Sebelum ini, Kiev bersama sekutu Barat mereka menyelar rancangan referendum di Kherson dan bandar lain kerana didakwa melanggar undang-undang.

Sejak minggu pertama kempen pencerobohan Rusia yang dilancarkan pada Februari lalu, Kherson dan Zaporizhzhia yang menempatkan loji nuklear terbesar Eropah telah berada di bawah kawalan Moscow.

Matlamat asal mereka adakah untuk menawan ibu kota, namun rancangan itu gagal hingga menyebabkan tentera Rusia terpaksa berundur dari bahagian utara dan mula memberi tumpuan di bahagian selatan serta timur Kiev.

Bagaimanapun, tentera Ukraine kembali melancarkan siri serangan balas di bahagian selatan dan memusnahkan kubu pihak musuh ketika konflik itu memasuki bulan yang ketujuh.

Keadaan jambatan Antonovsky merentasi sungai Dnipro di Kherson yang musnah akibat dibedil tentera Ukraine.

"Tentera Ukraine semakin membuat kemajuan di bahagian selatan,” ujar kumpulan penyelidik berpusat di Amerika Syarikat (AS), Institut Kajian Perang merujuk kepada tindakan mereka yang berjaya menguasai semula beberapa kawasan di Kherson dan wilayah timur Donetsk.

Tentera Ukraine dikatakan turut membedil sebuah gudang yang menempatkan kertas undi untuk proses pungutan suara tersebut selain cuba menjejaskan pengurusan logistik dan pergerakan tentera musuh melalui serangan udara serta tembakan artileri.

Pada akhir minggu lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengumumkan kejayaan tentera mereka merampas semula dua perkampungan di bahagian selatan dan timur, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Timbalan Ketua Pentadbiran Presiden Ukraine, Kyrylo Tymoshenko turut berkongsi gambar di Twitter menunjukkan bendera kebangsaan dikibarkan di Vysokopillia di utara Kherson.

Dalam perkembangan lain, Kesatuan Eropah (EU) menandatangani perjanjian bersama Ukraine bagi menyalurkan dana tambahan berjumlah 500 juta euro (RM2.2 bilion) untuk bantuan terancang, perumahan, pendidikan dan pertanian.

Kiev beri amaran

Ketika tentera Ukraine semakin memperhebatkan serangan balas, Kiev telah mengeluarkan amaran kepada penduduk di 'kawasan diduduki' termasuk Crimea supaya menyediakan tempat berlindung dan menyimpan stok bekalan penting.

"Penduduk di kawasan berkenaan perlu membuat persiapan segera termasuk tempat perlindungan bom dan mengecas 'power bank' sekarang. Semuanya akan menjadi Ukraine semula,” kata penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak menerusi Twitter.

Amaran itu diberikan selepas pihak berkuasa Kiev pada minggu lalu dilaporkan mula membuka laluan pemindahan untuk penduduk Ukraine yang mahu meninggalkan Crimea ketika 'operasi merampas semula' wilayah itu dilancarkan.

Kiev telah berulang kali menegaskan wilayah diduduki Rusia sejak lapan tahun lalu itu akan tetap dirampas semula dalam apa jua cara.

Perikatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga pernah menuntut Moscow mengembalikan semula Crimea kepada Ukraine malah pegawai AS memberitahu Washington telah memberi lampu hijau kepada Kiev untuk menyerang sasaran pilihan mereka di wilayah diduduki itu. - Agensi

INFO

Pada Mac 2014, Rusia merampas Semenanjung Crimea daripada Ukraine selepas keputusan referendum menunjukkan kira-kira 97 peratus mengundi 'ya' untuk menyertai Rusia. Kira-kira 58 peratus populasi di Crimea ialah etnik Rusia.

Komuniti antarabangsa bagaimanapun tidak mengiktiraf keputusan pungutan suara tersebut kerana didakwa tidak sah.

Tindakan Moscow didakwa melanggar perjanjian bersama negara bekas Kesatuan Soviet pada 1991 untuk menerima sempadan republik sedia ada.