KERAJAAN Terengganu menyediakan imbuhan khas untuk pasukan Terengganu FC (TFC) sekiranya berjaya menjulang Piala FA Sabtu ini.
Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menaruh harapan tinggi agar skuad Penyu berjaya membawa pulang trofi berprestij itu, sekali gus menamatkan kemarau 11 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 2011.
Bagaimanapun, jumlah imbuhan untuk setiap pemain masih dirahsiakan bagi memastikan pemain memberi fokus kepada perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil itu nanti.
"Perbaiki kelemahan yang ada ketika pusingan separuh akhir menentang Selangor FC dahulu, insya-Allah tidak ada sebab kita tidak boleh menang ke atas JDT," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Pasukan TFC ke Perlawanan Akhir Piala FA di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini pada Khamis.
Selain itu, Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut menasihatkan penyokong yang hadir di stadium supaya sentiasa menjaga tingkah laku bagi menjaga imej dan nama baik negeri.
Beliau berkata apa jua keputusan perlawanan perlu diterima dengan hati terbuka dengan tidak melakukan provokasi yang boleh menimbulkan ketidakharmonian serta kekacauan terhadap orang ramai.
"Apa juga keputusan sama ada kita tewas atau menang, ingat dunia. Jangan tak ingat dunia. Jaga tingkah laku dan tatatertib demi nama baik negeri," katanya yang meramalkan Terengganu menang 2-1 ke atas JDT. - Bernama