PENYERANG Barcelona, Robert Lewandowski menghadiahkan tiga gol kepada isterinya ketika membantu kelab La Liga Sepanyol itu membelasah Viktoria Plzen, 5-1 dalam perlawanan Kumpulan C Liga Juara-Juara di Camp Nou pada Khamis.
"Hari ini ialah hari kelahiran isteri saya, jadi ketiga-tiga gol dalam perlawanan ini untuknya. Sejujurnya kehadirannya di Stadium Camp Nou pada hari lahirnya amat bermakna kepada saya.
"Tiga gol aksi pertama bersama kelab Barcelona di Liga Juara-Juara merupakan sesuatu yang menakjubkan buat perjalanan karier saya.
"Saya tahu sejak awal di Barcelona bahawa ia akan menjadi sesuatu yang penting untuk menyesuaikan diri sejak perlawanan pertama baik domestik atau Eropah," katanya.
Dua lagi gol The Catalans dijaringkan Franck Kessie (13') dan Ferran Torres (71') manakala Jan Sykora menjaringkan gol saguhati buat pelawat pada minit ke-44.
Untuk rekod, ini merupakan hatrik keenam Lewandowski dalam Liga Juara-Juara, sekali gus dia menjadi pemain pertama dalam sejarah kejuaraan berprestij kelab Eropah menjaringkan satu gol untuk tiga kelab berbeza, setelah menjaringkan treble untuk Bayern Munich dan Borussia Dortmund.
Sementara itu, Hernandez menyifatkan Lewandowski sebagai penjaring gol yang tidak mengecewakan setiap pasukan diwakilinya.
"Begitulah Robert Lewandowski, individu yang tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian sebelum ini, sebalik terus berusaha. Cara dia berlatih, cara dia membantu pasukan, kerendahan hatinya, komitmen terhadap kerjaya.
"Sejujurnya, saya tidak boleh memujinya kerana ia bukan hanya tentang hatriknya, ia juga cara dia bekerja, bagaimana dia tahu menguasai tempo permainan," kata Xavi.