Penduduk Chetok rayu turap jalan

Iklan
Laluan alternatif yang menjadi laluan harian penduduk dari tiga buah kampung di Chetok, Pasir Mas sejauh satu kilometer yang tidak berturap sejak 23 tahun lalu.

PASIR MAS - Penduduk kampung di Chetok di sini merayu pihak berkenaan agar segera menurap jalan alternatif sejauh satu kilometer yang menghubungkan Kampung Kepas ke Kampung Simpul.

Laluan alternatif yang tidak berturap sejak 23 tahun lalu itu membuatkan mereka berdepan bahaya setiap kali menggunakan jalan tersebut untuk urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah.

Wakil penduduk, Zakaria Mamat, 62, berkata, selain penduduk laluan itu turut digunakan oleh murid untuk berulang-alik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kepas kerana jaraknya dekat dan menjimatkan masa perjalanan.

Iklan
Iklan

"Kami acap kali membuat aduan kepada penghulu mukim, bila aduan diterima mereka akan datang melakukan kerja-kerja membatu. Jadi perkara itu tidak membantu menyelesaikan masalah.

"Bila hujan, laluan ini akan menjadi becak dan berlopak sekali gus mengundang bahaya kepada penduduk," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Zakaria (kanan) dan Nazri menunjukkan keadaan jalan yang becak dan berlopak sekali gus mengundang bahaya kepada penduduk.

Iklan

Beliau berkata, situasi itu bertambah teruk sejak dua bulan lalu susulan hujan lebat berlaku hampir setiap hari.

Katanya, penduduk memohon pihak berkenaan untuk menurap laluan itu dengan kadar segera bagi memastikan keselamatan penduduk.

Iklan

Seorang lagi penduduk, Nazri Jusoh, 62, berharap kerja-kerja menurap dapat dilakukan dengan secepat mungkin.

"Kami sudah tidak sanggup lagi untuk berdepan bahaya setiap kali menggunakan laluan ini terutama pada waktu malam.

"Hal ini kerana sukar mengagak ke dalaman lopak terutama waktu hujan," katanya.

Bagi Rudaini Osman, 58, berkata, terdapat 14 buah rumah di sepanjang jalan tersebut dan masalah jalan yang tidak berturap memburukkan keadaan.

Katanya, bila panas mereka terpaksa berhadapan dengan debu manakala bila hujan keadaan menjadi becak.

Dia berkata, paling menyedihkan apabila ia melibatkan pelajar-pelajar sekolah kerana ia menyebabkan uniform mereka kotor dan berdepan bahaya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Chetok, Zuraidin Abdullah ketika dihubungi memaklumkan, masalah tersebut sudah berada dalam pengetahuan pihaknya.

"Untuk makluman kita sedang selesaikan beberapa perkara berkait dengan jalan tersebut.

"Apabila semuanya selesai nanti, kita usulkan perkara tersebut kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas untuk kerja-kerja penurapan," katanya.