Projek naik taraf, tebatan banjir dijangka siap 10 November

Iklan
Aduan penduduk mengenai ancaman banjir berulang jika projek di Sungai Belat gagal disiapkan.

KUANTAN - Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) menjangkakan projek menaik taraf Sungai Belat, pembinaan struktur pencegahan banjir serta kerja-kerja berkaitan di bawah projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan akan siap pada 10 November depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berkata, kemajuan projek semasa adalah 96.6 peratus sehingga 30 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, kontraktor sedang menyiapkan kerja-kerja sivil bagi rumah pam dan sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membolehkan pemasangan fasiliti dapat dibuat sebelum pihak TNB membekalkan tenaga elektrik.

"Kontraktor menyasarkan tarikh siap bagi kerja tersebut adalah pada 27 September ini manakala kerja-kerja mekanikal dijangka siap pada November depan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Jelasnya, projek itu akan disiapkan dengan lapan pam berkapasiti 1000 liter dan dua pam kapasiti 500 liter.

"JPS bersiap siaga dengan pam bergerak dan set generator sebagai alternatif untuk mengelakkan limpahan air Sungai Belat ke kawasan setempat untuk operasi Monsun Timur Laut bagi perlindungan banjir sementara projek ini disiapkan.

Iklan

"JPS komited melaksanakan kerja-kerja berkaitan bagi memudahkan penduduk setempat," ujar beliau.

Sehubangan itu, Md Nasir menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati khususnya kepada penduduk yang tinggal di kawasan rendah dalam menghadapi hujan lebat dan risiko banjir ketika musim Monsun Timur Laut.

Pada 1 September lalu, Sinar Harian melaporkan kebimbangan penduduk di beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura berhubung ancaman banjir susulan projek di lembaran Sungai Belat masih belum disiapkan.

Mereka tidak sanggup berdepan dengan situasi banjir berulang setiap tahun dan mahu pihak berkaitan segera menyiapkan projek terbabit sebelum tiba musim tengkujuh.