Kes denggi: JKNT keluar 628 notis

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengeluarkan sebanyak 628 notis atau amaran terhadap pemilik premis yang didapati mengabaikan kebersihan hingga terdapat bekas menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes pada tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, notis di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 itu dikeluarkan sejak Januari hingga Ogos lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 125,124 premis kediaman dan perniagaan di seluruh Terengganu sudah diperiksa sebagai kawalan dan pencegahan demam denggi.

"Daripada jumlah itu, pemeriksaan mendapati terdapat 2,206 premis dikesan memiliki bekas pembiakan nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan berlakunya wabak denggi di kawasan sekitar," katanya di sini pada Khamis.

Iklan

Dr Kasemani berkata, setakat ini sebanyak 539 kompaun yang dikeluarkan sudah dijelaskan dengan nilai RM79,850.

Katanya, notis atau amaran yang dikeluarkan itu diharap dapat meningkatkan kesedaran di kalangan pemilik premis agar sentiasa mengambil berat aspek kebersihan supaya mengurangkan wabak denggi.

Iklan

Jelas beliau, selain aktiviti pemeriksaan, JKNT juga telah membuat semburan kabus di 119,032 premis dan membunuh jentik-jentik di 52,230 premis yang dikenal pasti setakat ini.

"Aktiviti pencegahan denggi akan diteruskan melibatkan pelbagai pihak iaitu agensi kerajaan, komuniti seperti Jawatankuasa Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen).

"Saya menyeru orang ramai supaya dapat meluangkan masa lebih kurang 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar rumah mereka bagi mencegah denggi," katanya.