Lari tinggalkan 960 liter diesel seludup

Iklan
Anggota KPDNHEP Kelantan menunjukkan minyak diesel yang berjaya dirampas di Bunut Susu, Pasir Mas pada Rabu.

PASIR MAS - Seorang lelaki bertindak melarikan diri dengan meninggalkan 960 liter minyak diesel bersubsidi selepas aktiviti penyeludupan yang dilakukan berjaya dihidu oleh anggota penguat kuasa di Bunut Susu di sini pada Rabu.

Aktiviti itu berjaya dipatahkan menerusi Op Bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota bertugas telah mengekori kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, menyedari diekori, lelaki itu telah memecut laju kereta tersebut sehingga memasuki jalan mati.

Iklan

Katanya, lelaki terbabit kemudian terus bertindak menghentikan kereta dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu kita telah menjumpai tong-tong plastik mengandungi cecair bahan bakar disyaki minyak diesel di bahagian belakang kenderaan," katanya.

Iklan

Aswadi berkata, nilai rampasan barang kawalan itu anggaran berjumlah RM2,064.

"Siasatan dijalankan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti lelaki itu dan pemilik kenderaan serta bekalan diperoleh," katanya.