SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Calon Pakatan Harapan Dr S.Streram meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menaikkan kain rentang dengan ayat-ayat yang disifatkannya berbentuk provokasi terhadapnya.
PH membuat laporan polis berhubung gegantung berunsur provokasi terhadap calon mereka, Dr S Streram.
Gegantung itu dipercayai mula digantung di sekitar Rantau sejak awal pagi hari ini.
Menurut Streram, beliau menyedari mengenai perkara itu selepas dimaklumkan oleh penyokongnya.
"Saya tidak tahu siapa yang pasang tetapi ia merupakan provokasi ke atas diri saya dan orang India. Ia adalah fitnah dan saya selalu mengingatkan jentera parti untuk tidak melakukan perkara yang boleh mendatangkan ketegangan," katanya ketika ditemui pada program tinjauan mesra di Rumah Rakyat Nyatoh di sini, hari ini.
Katanya, kempen provokasi tidak seharusnya dijadikan budaya oleh semua parti yang bertanding dan ia harus ditolak.
"Saya selalu ingatkan jentera kita (PH) bahawa kita bertanding secara persahabatan dan harmoni," katanya.
Terdahulu, tular mengenai gegantung 'jangan undi India' dalam bahasa Minang yang merujuk kepada Streram dipasang di beberapa lokasi sekitar Rantau.
Sementara itu, empat laporan polis membabitkan isu cabut bendera dan provokasi juga telah dibuat PH sejak hari pertama kempen hingga hari ini.