Adib kekal status pendahulu TK1 kebangsaan POPIC 2022

Iklan
Adib muncul juara Peringkat 2 selepas merekodkan masa keseluruhan 1: 28:06.03 saat di Pantai Lagenda, Pekan pada Khamis.

PENDAYUNG Pahang, Mohd Adib Kamaruzrizan mengekalkan status pendahulu kategori kebangsaan TK1 lelaki selepas menjuarai Peringkat 2 Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Lagenda, Pekan pada Khamis.

Dalam perlumbaan sejauh 14 kilometer itu, Adib merekodkan masa keseluruhan 1 jam 28 minit 06.03 saat (s) bagi meninggalkan dua pencabar terdekatnya, Daing Sulaiman Daing Suhaimi (1:29:50.58s) dan Freddy Anggang (1:30:01.36s).

Iklan
Iklan

"Pertama sekali, alhamdulillah atas kemenangan hari ini. Jika hendak dibandingkan dengan peringkat 1 semalam (Rabu), cabaran pada perlumbaan peringkat 2 hari ini lebih kepada jarak yang agak jauh. Semalam pula cabarannya lebih kepada ombak.

"Keduanya, walaupun saya berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu selepas dua peringkat, tetapi saya tidak boleh berasa selesa. Mungkin cabaran lebih besar menanti saya dalam baki tiga perlumbaan selepas ini,” katanya.

Iklan

Sementara itu, gandingan berpengalaman mewakili Pahang, Ahmad Azfaruddin Lukman-Imam Sujadi Satta turut mengekalkan kedudukan pendahulu apabila mengungguli kategori K2 lelaki dengan catatan masa 1:43:49.23s.

Podium kedua turut menjadi milik wakil Pahang, David Bong Xia Shing-Aderian Adek dengan masa 1:44:30.15s manakala pendayung Terengganu, Muhammad Adhwa-Danish Lukman di tempat ketiga dengan catatan 1:45:45.27s.

Iklan

Dalam pada itu, pasangan adik-beradik dari Terengganu, Norazita-Nursaibah Syahida Ibrahim terus membuktikan kehebatan apabila menguasai kategori K2 wanita setelah muncul juara dengan catatan masa 1:31:28.12s.

"Kami akan cuba mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu dalam baki tiga peringkat. Jadi apa yang paling penting, kami perlu kekal dengan stamina tinggi kerana cabaran setiap peringkat berbeza-beza,” ujar Norazita.

Gandingan adik-beradik yang mewakili Outdoor Addict, Dayang Nur Sakinah-Dayang Nur Hanisah Awang Ali pula menduduki tempat kedua apabila merekodkan 1:36:09.33s manakala Siti Normah Abdul Rahman-Mustika Ayuni Mustofa di tempat ketiga dengan catatan 1:39:06.15s.

Kategori Intervarsiti lelaki pula menyaksikan status juara milik Tuan Muhamad Hidzam Tuan Dolah-Mohd Azman Ibrahim (UniSZA); naib juara Muhammad Farhan Haqimi Abdul Latiff-Mohamad Faiz Rosdin (UTHM) dan pemenang tempat ketiga Mohamad Izzat-Muhammad Hafizi (UniSZA).

Bagi Kategori Intervarsiti Wanita, wakil UTHM, Alya Athirah Shaharaziz-Nur Aleya Nafisha Norhanafi muncul juara diikuti Nur Amira Syafiqah Rosli-Ain Syuhadah Zulkifli (UTHM) dan Yusriyah Athirah Yusof-Nor Natasha Mohd Yusuf (Outdoor Edit UPSI).

Kategori Antarabangsa sekali lagi menyaksikan bekas juara dunia, Dawid Mockie dan Danielle McKenzie mempertahankan kedudukan selaku pendahulu saingan lelaki serta wanita.

Selepas berakhirnya dua peringkat masing-masing di Pantai Hiburan, Kuala Rompin dan Pantai Lagenda, tiga lagi peringkat perlumbaan POPIC 2022 akan diadakan di Kuantan.

Pantai Balok menjadi lokasi Peringkat 3 pada Jumaat diikuti Peringkat 4 di Pantai Cherating (Sabtu) dan Peringkat 5 di Pantai Teluk Cempedak (Ahad).