PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengakui terkejut dengan keputusan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea memecat Thomas Tuchel selepas permulaan buruk kelab London tersebut musim ini.
Namun pada masa sama Arteta menjelaskan senario itu merupakan antara cabaran dan realiti perlu di hadapi pengendali pasukan terutamanya dalam era bola sepak moden.
"Sejujurnya saya amat terkejut apabila mengetahui beliau mendapat perkhabaran ini sebelum bermula sesi latihan bersama pasukan.
"Ya, situasi yang amat menyedihkan bagi mana-mana rakan sekerja dalam profesion ini dipecat. Malangnya, kami tahu bagaimana profesion ini berfungsi...
"Saya mendoakan yang terbaik untuk Tuchel, walaupun perkhabaran ini tidak menyenangkan. Kami mempunyai profesion yang pada satu peringkat, keadaan ini boleh berlaku," kata Arteta.
Chelsea memecat Tuchel, sehari selepas kelab berpangkalan di London itu mengalami kekalahan mengejut 1-0 di Dinamo Zagreb dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Zagreb.
Tuchel mengetuai Chelsea di tempat ketiga liga musim lalu dan di tangga keenam musim ini selepas enam perlawanan setelah tewas kepada Leeds United dan Southampton.
Nada sama turut diluahkan pengendali Manchester United, Erik ten Hag yang bersimpati dengan situasi yang berlaku terhadap pengendali dari Jerman yang berjaya membawa trofi Liga Juara-Juara ke Stamford Bridge.