GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dilaporkan mencapai persetujuan lisan dengan pengendali Brighton & Hove Albion, Graham Potter untuk menggantikan Thomas Tuchel, menurut media tempatan.
Chelsea memecat Tuchel pada Rabu, sehari selepas kelab London itu tewas mengejut 0-1 kepada Dinamo Zagreb di laman lawan dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
The Blues menduduki tempat ketiga liga musim lalu, namun berada di tangga keenam dengan 10 mata musim ini selepas enam perlawanan setelah tewas di Leeds United dan Southampton.
Tuchel menyertai Chelsea selepas pemecatan Frank Lampard dan membantu kelab itu memenangi Liga Juara-Juara pada musim pertamanya.
Dia kemudian membawa kelab menjuarai Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA musim lalu.
Media tempatan melaporkan Potter dijangka menjadi pengendali baharu Chelsea sebelum kunjungan The Blues ke Fulham pada Sabtu.
Untuk rekod, Potter membawa The Seagulls ke tangga keempat setakat musim ini dengan enam kemenangan, satu kekalahan dan satu seri.
Pengendali berusia 47 tahun itu dilantik mengemudi Brighton pada Mei 2019, membawa kelab itu ke tangga ke-15, ke-16 dan kesembilan sepanjang tiga musim lalu.
Potter sebelum ini mengendalikan kelab Liga Kejuaraan, Swansea City sebelum menyertai Brighton.