LONDON - Ratu Elizabeth II, monarki paling lama memerintah dalam sejarah British, mangkat pada usia 96 tahun, menurut pengumuman Istana Buckingham pagi ini.
Anak sulung baginda, Charles akan menggantikannya sebagai raja.
Sebelum ini, keluarga diraja dikhabarkan sudah berkumpul di Scotland kerana tahap kesihatan Ratu dikatakan kurang stabil.
Istana Buckingham memaklumkan kemangkatan tersebut dalam satu kenyataan rasmi seperti yang dilapor media-media di seluruh dunia.
Oktober tahun lalu, Ratu Elizabeth menghabiskan masa semalaman di hospital dan sejak itu baginda dipaksa mengurangkan interaksi dengan awam.
Semalam, baginda membatalkan mesyuarat secara maya dengan menteri kanan selepas disyorkan doktornya.
Sehari sebelum itu, baginda hadir dalam majlis pelantikan Perdana Menteri United Kingdom, Liz Truss di Balmoral.
Awal tahun ini menandakan ulang tahun ke-70 Ratu Elizabeth II menaiki takhta dengan sambutan selama empat hari pada Jun lalu. - Agensi