BEIJING - Hujan dan banjir lumpur menyukarkan lagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) berpuluh-puluh mangsa gempa bumi di barat daya China.
Dalam tempoh 24 jam lalu, angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda wilayah Sichuan meningkat kepada 82 orang dan jumlah tersebut dijangka bertambah dari semasa ke semasa.
Gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter itu melanda kira-kira 43 kilometer (26 batu) tenggara bandar Kangding pada kedalaman 10 kilometer (km) pada Isnin, memaksa beribu-ribu orang ditempatkan semula ke kem sementara.
Penyiar rasmi CCTV melaporkan, 46 orang maut di wilayah Ganzi berhampiran pusat gempa, manakala 36 kematian dilaporkan di bandar Ya'an.
Tambah laporan itu, lebih 270 cedera sementara jumlah hilang kekal 35 orang.
Perkhidmatan cuaca negara berkata, hujan akan berterusan di zon gempa pada Khamis dan Jumaat dengan beberapa tempat diramalkan menerima taburan hujan yang banyak.
Tentera, polis separa tentera dan perkhidmatan penyelamat bomba menghantar lebih 10,000 petugas ke kawasan itu bagi meneruskan operasi mencari dan usaha pembersihan tanah runtuh di kawasan pedalaman.
Pasukan penyelamat mengharungi banjir kilat dan tanah runtuh akibat gegaran susulan untuk memindahkan penduduk kampung dari rumah yang musnah, dalam kebanyakan kes terpaksa mengangkut mereka melalui kawasan pergunungan dengan menggunakan tali dan pengusung.
Lebih 22,000 penduduk dipindahkan
Lebih 22,000 orang setakat ini telah ditempatkan semula ke 124 kem sementara di seluruh Ganzi dan Ya'an, lapor akhbar milik kerajaan, People's Daily.
Akhbar itu berkata, lebih 21,000 pelajar dan kakitangan di sebuah sekolah di daerah Shimian telah selamat dipindahkan dalam masa satu minit selepas gempa itu.
Tambah laporan itu, hampir 1,800 sekolah di kawasan berkenaan telah dibuka semula pada Rabu.
Gempa bumi di Sichuan turut dirasai di ibu kota wilayahnya, Chengdu iaitu pusat kepada 21.2 juta penduduk yang ketika ini melanjutkan perintah berkurung bagi membendung penularan Covid-19.
Susulan gempa itu, polis dan pekerja kesihatan di Chengdu enggan membenarkan penduduk yang cemas berada di luar kediaman, sekali gus menambahkan kekecewaan orang ramai terhadap dasar ketat sifar Covid yang dikenakan kerajaan.
Perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan di bandar raya mega itu sejak 1 September lalu sepatutnya berakhir pada Rabu.
Namun, ia dilanjutkan sehingga ke satu tarikh yang diberitahu kelak kerana masih wujud risiko penularan kes di beberapa kawasan dengan penduduk diarah menjalani saringan besar-besaran bermula hari ini hingga Ahad.
Dalam tempoh 24 jam lalu, Chengdu merekodkan 116 kes baharu berbanding 121 kes pada hari sebelumnya. - AFP