Jangan panik dengan tipu helah scammer

Iklan
Ramai mangsa menangis apabila sekelip mata hilang ratusan ribu ringgit akibat diperdaya scammer. - Foto 123rf

SEJAK kebelakangan ini, sering kali kita mendengar sama ada di surat khabar atau media sosial mengenai kes penipuan melibatkan sindiket scammer.

Ramai rakyat Malaysia sudah menjadi mangsa sehingga menimbulkan tanda tanya sampai bilakah isu ini akan menemui noktah.

Iklan
Iklan

Ramai mangsa yang menangis apabila sekelip mata hilang ratusan ribu ringgit akibat diperdaya scammer yang ternyata licik dengan pelbagai strategi.

Bayangkan, selepas berpenat lelah bekerja siang malam mengumpul duit, tetapi ‘hangus’ begitu sahaja.

Iklan

Mereka yang pernah menjadi mangsa sahaja yang tahu betapa sakitnya ditipu scammer.

Baru-baru ini, kecoh apabila pakar perubatan terkenal, Dr Rafidah Abdullah mendedahkan bahawa wang simpanannya sebanyak RM13,000 lesap dalam akaun bank miliknya.

Iklan

Pakar buah pinggang itu meluahkan rasa kecewa apabila wang tersebut hilang begitu sahaja menerusi tiga transaksi mencurigakan antara jam 2 dan 3 pagi.

Peliknya, scammer berjaya melakukan pemindahan wang tanpa meminta kod kebenaran transaksi (TAC) yang biasanya merupakan syarat utama bagi setiap transaksi atas talian.

Dari situ, timbul persoalan, sama ada scammer sekarang semakin licik atau sistem keselamatan bank itu sendiri yang lemah sehingga mudah diceroboh pihak ketiga.

Pengalaman penulis

Sebenarnya, penulis juga pernah berdepan detik cemas apabila menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri kononnya daripada sebuah syarikat telekomunikasi.

Suara lelaki di talian memberitahu penulis terpilih sebagai pemenang bertuah untuk menerima hadiah bernilai RM5,000.

Tapi penulis tidaklah melompat gembira apabila mendapat panggilan tersebut, kerana tahu hadiah ditawarkan tidak munasabah.

Takkan begitu mudah nak memberi hadiah sebegitu lumayan kecuali kalau penulis pernah menyertai apa-apa peraduan atau pertandingan.

Disebabkan itu, dengan tenang penulis meminta lelaki tersebut mengulang semula apa yang diperkatakan dan dari pengamatan suara dan lenggok bahasa digunakan seperti lelaki warga Indonesia. Segera penulis mematikan panggilan.

Sejurus selepas itu terdapat mesej masuk yang memberikan nombor TAC bagi tujuan menebus hadiah tersebut.

Merasa seperti ada yang tidak kena, penulis segera mematikan data dan telefon pintar kerana bimbang scammer berjaya menggodam maklumat peribadi dan akaun bank penulis.

Selepas beberapa jam, penulis menyemak akaun simpanan, namun tiada sebarang transaksi meragukan berlaku.

Walaupun begitu, pengalaman tersebut tetap mencemaskan kerana penulis bimbang kehilangan wang simpanan dalam bank.

Sebelum kejadian itu, penulis juga pernah berdepan dengan satu lagi panggilan scammer yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia mendakwa penulis berdepan tindakan saman dari mahkamah berikutan mempunyai cukai tertunggak.

Musykil dengan panggilan tersebut, penulis bertanyakan pelbagai soalan kepadanya.

Yang menggelikan hati, apabila penulis bertanya mahkamah mana dan nama majistret yang terlibat dalam kes itu, ‘kakitangan LHDN’ itu menyebut nama Tun Chen Sin Wah.

Segera penulis memberitahu, sepanjang menjadi wartawan belum pernah dengar hakim mahkamah majistret mendapat gelaran Tun.

Mungkin disebabkan sudah ‘kantoi’, scammer tersebut segera mematikan talian telefon.

Dua kejadian itu dialami penulis sendiri yang sudah tahu taktik scammer ini.

Bayangkan sekiranya panggilan tersebut terkena kepada orang yang tidak tahu menahu. Contohnya, ibu bapa kita yang tinggal di kampung.

Walaupun di surat khabar sudah acap kali mendedahkan mengenai kegiatan scammer ini, termasuk nasihat-nasihat daripada pihak berkuasa supaya orang ramai sentiasa berhati-hati, namun masih ramai yang juga yang terjerat.

Sehubungan itu, penulis menasihatkan orang ramai supaya peka dengan perbuatan scammer ini supaya tidak menjadi mangsa.

Sekiranya mendapat panggilan yang meragukan, usah panik sebaliknya ambil masa lakukan semakan atau merujuk kepada pihak yang sepatutnya.

Kepada scammer pula, penulis nasihatkan buatlah kerja lain. Anda boleh membuat seribu helah dan cubaan untuk ‘mencuri’ duit orang ramai tetapi ingatlah perbuatan itu tidak akan selamat akibat sumpah seranah ribuan mangsa yang teraniaya.

*Hamizah Basir ialah Wartawan Kandungan Komersial