MKMA63 bincang pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen

Iklan
Ismail Sabri (dua dari kanan) pengerusikan mesyuarat kelima MKMA63 yang turut dihadiri Maximus (tiga dari kanan) di Putrajaya.

KOTA KINABALU - Isu tuntutan mengembalikan semula 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak antara perkara yang dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang diadakan pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, perkara itu adalah antara isu utama dalam mesyuarat kelima MKMA63 yang diadakan di Putrajaya dan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Maximus berkata, perkara itu memerlukan lebih banyak perbincangan khususnya membabitkan pengamal dan penggubal undang-undang di kedua-dua negeri.

Katanya, penggubal undang-undang dari Sabah dan Sarawak meminta agar kajian semula dilaksanakan terhadap jumlah kerusi Parlimen di dua negeri Borneo itu.

Iklan

"Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi Parlimen, diikuti Sarawak (24) dan Singapura (15), jumlahnya mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi Parlimen adalah di Malaya (Semenanjung).

"Malaya ketika itu tidak memiliki majoriti dua pertiga. Jadi, apabila Singapura keluar Malaysia pada 1965, kerusi miliknya sepatutnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan kedudukan 35 peratus itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Iklan

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, cadangan untuk mengembalikan kedudukan kerusi Parlimen itu juga sudah disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2012.

Katanya, tugasan akhir ketika ini ialah untuk meyakinkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun isu itu perlu ditekankan kerana ia adalah satu lagi pengembalian hak yang selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebelum itu, berdasarkan perkiraan semasa daripada 222 kerusi Parlimen ketika ini, 166 kerusi atau 75 peratus adalah di Semenanjung manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi adalah 25 kerusi di Sabah dan 31 kerusi di Sarawak.