KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada kerabat diraja Britain, rakyat dan kerajaan United Kingdom (UK) atas kemangkatan Ratu Elizabeth II, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
"Baginda ialah tokoh ulung dan sangat berdedikasi sepanjang pemerintahan baginda kepada rakyat UK dan Komanwel," katanya dalam hantarannya di Facebook.
Ratu Elizabeth II, raja paling lama berada atas takhta itu mangkat pada usia 96 tahun.
Baginda mempunyai masalah kesihatan sejak 12 bulan lalu atas faktor usia dan terpaksa membatalkan untuk menghadiri acara rasmi atas nasihat doktor.
Kali terakhir baginda menghadiri acara rasmi ialah semasa sambutan Jubli Platinum pemerintahan baginda ke-70 Jun lalu.
Pada tengah hari Khamis satu kenyataan dikeluarkan yang menyatakan Ratu Elizabeth II berada di bawah"penyeliaan perubatan" di Balmoral, Aberdeenshire, Scotland. - Bernama