Ratu Elizabeth II: Keluarga diraja seluruh dunia zahir takziah

Iklan
Anggota keluarga diraja Britain bergambar bersama Puteri Elizabeth (tengah) pada November 1947 sebelum baginga menjadi ratu England. - Foto AFP

ANKARA - Keluarga diraja di seluruh dunia menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Raja paling lama berkhidmat itu mangkat pada usia 96 tahun, umum Istana Buckingham.

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan, Raja Sepanyol Felipe dan Ratu Letizia menzahirkan ucapan takziah kepada Raja Charles III dan seluruh rakyat Britain.

"Baginda Ratu Elizabeth II telah menyaksikan, mencoretkan dan mencipta banyak babak paling relevan dalam sejarah dunia sepanjang tujuh dekad yang lalu.”

Iklan

Raja Sweden, Carl XVI Gustaf bertitah:"Saya dan keluarga amat berdukacita dengan berita kemangkatan saudara saya yang disayangi, Ratu Elizabeth II.”

Gustav ialah sepupu ketiga Ratu Elizabeth II, dan kedua-duanya daripada keturunan Ratu Victoria.

Iklan

"Kehadiran baginda sentiasa dirasai, bukan sahaja untuk masyarakat British tetapi juga di peringkat antarabangsa," kata Gustav, sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga baginda dan rakyat Britain.

Raja Willem-Alexander, Ratu Maxima, dan Puteri Beatrix dari Belanda turut bersama-sama memberi penghormatan menerusi perutusan takziah.

Sementara itu, Raja Herald dari Norway"Ingatan tulus ikhlas kami kepada Duli Yang Maha Mulia Raja dan keluarga terdekat atas kemangkatan Ratu Elizabeth II."

"Selama seabad, baginda mengabdikan dirinya kepada tugasnya dan menemani rakyat British mengharungi detik suka dan duka, tatkala senang mahupun susah. Takziah juga kami zahirkan kepada rakyat Britain,” tambahnya.

Ratu Margrethe II dari Denmark turut menzahirkan ucapan takziah kepada Raja Charles III dan Permaisuri Camilla.

"Baginda sangat penting bagi saya dan keluarga saya. Baginda seorang tokoh yang sangat disegani dalam kalangan raja Eropah dan menjadi sumber inspirasi hebat kepada kita semua. Kami akan amat merinduinya,” titah Ratu Margrethe II.

Keluarga diraja di negara-negara Arab turut berdukacita dengan kemangkatan raja paling lama memerintah Britain itu.

"Jordan turut berdukacita dengan pemergian seorang pemimpin ikonik. Ratu Elizabeth II adalah pelita kebijaksanaan dan menerajui kepimpinan selama tujuh dekad,” ciap Raja Jordan Abdullah II di Twitter.

Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani menerusi Twitter:"Takziah kepada keluarga diraja Britain dan rakyatnya atas kemangkatan Ratu Elizabeth II, dunia kehilangan insan yang menjadi simbol kehebatan.”

"Baginda pencetus inspirasi dan telah membina hubungan yang kukuh dengan Qatar...” - Bernama