Agong berkenan lancar Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu di Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu. - Foto Bernama

KUALA KUBU BHARU - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli melancarkan kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu, pada Jumaat.

Pelancaran kitab itu disempurnakan Al-Sultan Abdullah dalam Majlis Lawatan Kerja baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini.

Iklan
Iklan

Jakim dan Rimbunan Islamik Media Sdn Bhd dalam kenyataan bersama memaklumkan, antara kelebihan cetakan terbaharu itu ialah ia merupakan satu-satunya kitab tafsir yang lengkap diterbitkan oleh Jakim, karya terjemahan oleh penulis tempatan yang berkelayakan dan diiktiraf, serta saiz yang lebih besar dan mesra pembaca berbanding versi asal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ketika menyampaikan sembah ucapan aluan berkata, sesuai dengan perkembangan zaman tanpa mengabaikan teras-teras dalam ilmu tafsir serta tadabbur al-Quran serta berpandukan pandangan alim ulama dalam negara sebagai rujukan, kitab itu sewajarnya diangkat menjadi rujukan rasmi umat Islam di Malaysia.

Iklan

Sebelum itu, pasangan diraja itu berangkat tiba di institut pengajian al-Quran berkenaan pada 9 pagi diiringi Idris dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Majlis lawatan itu dimulakan dengan bacaan al-Quran, disusuli sembah ucapan aluan oleh Idris, diikuti sembah taklimat Pengarah Darul Quran, Mohamad Kori Jusoh, persembahan nasyid dan pelancaran tafsir pimpinan Ar-Rahman Edisi Rumi Baharu oleh Al-Sultan Abdullah.

Iklan

Seri Paduka berdua kemudiannya berkenan melawat bilik kuliah dan beramah mesra dengan kakitangan serta pelajar institut pengajian itu, sebelum berkenan mengurniakan sumbangan kepada 20 pelajar Darul Quran Jakim daripada golongan asnaf. - Bernama