Kompleks ternakan ayam kedua dibina di Kuala Nerang

Iklan
Mahdzir (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan tapak dan taklimat cadangan projek ternakan ayam di Kampung Kubang Palas.

KUALA NERANG - Kompleks ternakan ayam bersepadu bernilai RM20 juta akan dibina di Kuala Nerang dalam memastikan jaminan keselamatan bekalan makanan dalam negara khususnya bekalan ayam sentiasa mencukupi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek kedua yang dilaksanakan oleh FELCRA Berhad itu dijadual beroperasi pada Oktober tahun depan melibatkan keluasan 10 hektar tanah di Kampung Kubang Palas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kompleks ternakan ayam terbabit mampu menghasilkan 250,000 ekor ayam dalam satu pusingan atau 1.5 juta ekor setahun.

"Pembinaan kompleks ternakan ayam sistem tertutup ini merupakan strategi serampang dua mata yang bukan hanya memfokuskan kepada janaan ekonomi setempat, sebaliknya ia antara usaha untuk jaminan keselamatan bekalan makanan negara.

Iklan

"Ia juga merupakan inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik di kawasan luar bandar selain menyediakan pelbagai peluang pekerjaan serta dapat menjana rantaian ekonomi,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan tapak dan taklimat cadangan projek ternakan ayam di Kampung Kubang Palas sini pada Jumaat.

Mahdzir (dua dari kanan) ketika diberikan taklimat berkaitan cadangan projek ternakan ayam di Kampung Kubang Palas sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria; Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Datuk Seri Ghazali Ibrahim serta Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.

Iklan

Mahdzir berkata, projek ternakan ayam bersepadu yang pertama dilaksanakan di Kampung Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.

"Selain dapat membangunkan kawasan luar bandar, secara tidak langsung merancakkan aktiviti ekonomi setempat bagi mewujudkan limpahan ekonomi yang boleh dinikmati warga desa,” katanya lagi.

Menurutnya, pembinaan projek berskala besar seperti ini diyakini dapat merapatkan jurang perbezaan dari segi infrastruktur dan kemakmuran ekonomi antara bandar dan luar bandar.

"Penghijrahan semula belia ke luar bandar dianggap kejayaan penting yang harus dicapai bagi mengimbangi guna tenaga tempatan yang produktif di luar bandar.

"Kerajaan menyasarkan komposisi penghijrahan belia di bandar dan luar bandar lebih seimbang menjelang 2050. Oleh itu, pelbagai aktiviti rangsangan ekonomi terus dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan hidup belia luar bandar,” katanya.

Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, projek ternakan ayam terbabit turut memberi ruang kepada usahawan bimbingan FELCRA untuk terlibat secara aktif dalam rangkaian pengeluaran dan pembekalan ayam.

"Projek tersebut merupakan sebahagian rancangan untuk mempelbagaikan bidang perniagaan FELCRA dan tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan sebagai teras perniagaan,” ujarnya.

Menurut sumber Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dianggarkan keperluan ayam dalam negara berjumlah 2.09 juta sehari atau 62.9 juta ekor sebulan, manakala penghasilan semasa adalah 1.6 juta ekor sehari.

Dalam pada itu, Mahdzir turut menyarankan agar FELCRA Berhad meningkatkan kemahiran dan produktiviti penternak terutama ternakan lembu kerana pengeluaran makanan berasaskan daging dan susu tempatan masih di tahap rendah.

"Kualiti daging import sejuk beku adalah kurang segar jika diambil kira proses masa diambil dari ladang di negara luar dan diimport ke negara ini berbanding daging tempatan. Oleh itu, FELCRA Berhad perlu jalankan kajian dan bekerjasama dengan syarikat lain bagi membina model contoh ladang ternakan terancang dan berteknologi tinggi bagi memenuhi permintaan domestik,” katanya lagi.

Menurutnya, golongan usahawan belia perlu diberikan galakan menceburi bidang penternakan sebagai jaminan bekalan daging ruminan tempatan pada masa depan.

"Saya mahu FELCRA selain menjuarai sektor perladangan turut aktif membantu tangani masalah kerajaan dalam mengimbangi kedua-dua import makanan negara bagi jangka panjang,” katanya.