Ahli perniagaan didakwa tipu Datin Seri RM150,000

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menipu seorang Datin Seri berhubung pelaburan dana Islamik membabitkan jumlah RM150,000, lima tahun lepas.

Calvin Damian Wong, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Datin Sabariah Othman.

Iklan
Iklan

Lelaki itu didakwa menipu Datin Seri Alauyah Jaafar, 58, dengan memperdayakan mangsa dalam pelaburan PIOF (Public Mutual) dengan pulangan tinggi sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM150,000 melalui cek ke akaun syarikat tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di pusat membeli belah di sini pada 7 malam, 25 April 2017 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ishak menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Oktober untuk sebutan semula kes. - Bernama

Iklan