Dua anggota bomba wanita bangga sertai Hazmat

Iklan
Norazizah (kiri) dan Hui Naa menamatkan Kursus Asas Hazmat Siri 1/2022, di Balai Bomba dan Penyelamat Nilai di sini pada Jumaat.

NILAI - Tidak puas sekadar berkhidmat sebagai anggota bomba biasa, dua wanita nekad untuk menyertai Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) sekali gus membuktikan kaum wanita mampu menggalas tugas mencabar berkenaan.

Norazizah Nordin, 27, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan Lim Hui Naa, 30, dari BBP Sungai Besi merupakan antara 40 peserta yang baru menamatkan Kursus Asas Hazmat Siri 1/2022, di Balai Bomba dan Penyelamat Nilai di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Keputusan mereka menyertai pasukan Hazmat bagi mencabar diri selain membuktikan kaum wanita turut mampu berada dalam bidang yang dimonopoli kaum lelaki.

Menurut Norazizah, dia sememangnya meminati kerjaya lasak dan mencabar selain mahu mendalami ilmu baharu.

Iklan

"Sudah hampir tiga tahun saya menyertai bomba dan kini sudah tiba masanya saya tambah ilmu lain dalam bidang tugas kebombaan.

"Ibu bapa saya pada mulanya susah hati bila saya beritahu mahu sertai pasukan Hazmat kerana selepas ini perlu berdepan dengan bahan radio aktif dan kimia, tapi saya yakinkan mereka jika sebelum ini mereka restu saya sertai bomba kenapa tidak Hazmat," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Hui Naa, 30, pula memilih menyertai Hazmat kerana telah sebati dengan khidmat kemanusiaan.

"Saya nak mencabar diri, kalau lelaki boleh buat, perempuan pun boleh buat.

"Tidak dinafikan tugas pasukan Hazmat ini agak mencabar, tapi kita dilatih dalam operasi untuk menitikberatkan soal keselamatan," katanya.

Sementara itu dalam kursus berkenaan, mereka perlu menjalani latihan lebih 180 jam dalam tempoh tiga minggu iaitu kira-kira 12 jam sehari selain perlu berada dalam keadaan bersiap sedia.

Sementara itu Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, dengan kewujudan bahan kimia baharu setiap hari yang tidak diketahui implikasinya terhadap alam sekitar dan anggota penyelamat, anggota Hazmat juga perlu menjalani latihan setiap bulan supaya terus relevan bagi setiap operasi.

"JBPM adalah agensi penyelamat yang diberikan kepercayaan dan bertanggungjawab bagi menangani kejadian bencana akibat bahan kimia, radiologi, biologi dan nuklear serta bahan berbahaya (CBRNe).

"Bagi kejadian bencana akibat CBRNe, JBPM mengambil langkah proaktif dan progresif dalam memperkasakan kesiapsiagaan jabatan daripada aspek sumber manusia, peralatan dan pengetahuan dalam bidang bahan berbahaya dan CBRNe.

"Antara kepakaran yang diterapkan kepada setiap anggota Pasukan Khas Hazmat dan CBRNe adalah kemahiran dalam mengendalikan komunikasi insiden Hazmat, peralatan operasi, alat perlindungan (PPE), peralatan mengesan, menjalankan decontamination; sampling serta pengurusan insiden membabitkan CBRNe," katanya.