KUANTAN - Pahang kibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, keputusan itu seperti mana dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Iklan
Iklan
Sementara itu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga diraja United Kingdom atas kemangkatan pemerintah paling lama dalam sejarah dunia itu.
Melalui hantaran di Facebook miliknya, Wan Rosdy berkata, Ratu Elizabeth II merupakan pemerintah paling lama dalam sejarah dunia dan juga salah seorang ikon yang sangat disanjungi ramai.
"Saya turut berduka atas khabar ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga Diraja United Kingdom, seluruh rakyatnya serta warga Komanwel di serata dunia.
"Semoga semuanya sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan pada waktu sukar ini," katanya.
Ratu Elizabeth II, monarki paling lama memerintah dalam sejarah British, mangkat pada usia 96 tahun seperti diumumkan Istana Buckingham.